Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman memberi bayangan saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 mungkin akan berlangsung di lokasi yang berbeza kerana Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menerima tempahan cukup padat pada hujung tahun ini.

Justeru itu, pihaknya telah mencalonkan beberapa venue alternatif seperti Stadium Bola Sepak Cheras (Kuala Lumpur), Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (Terengganu), Stadium Hang Jebat (Melaka) dan Stadium Sultan Ibrahim (Johor).

Ia secara tak langsung membuka peluang kepada rakyat dari negeri lain untuk menyaksikan perlawanan antarabangsa sekaligus memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya.

FAM dijangka mengumumkan venue yang dipilih sebagai tuan rumah Piala AFF 2022  pada hari esok. Malaysia akan menjadi tuan rumah untuk perlawanan peringkat kumpulan menentang Laos pada 24 Disember dan Singapura pada 3 Januari 2022.

“Ada beberapa perkara yang kita perlu nilaikan, hari selasa kita akan mengeluarkan kenyataan setelah berbincang dengan pelbagai pihak.

“Jika diikutkan penggunaan SNBJ terlalu padat selain turut menerima tempahan daripada pihak tertentu, sekali gus memerlukan kita mencari stadium lain untuk mengharungi kempen Piala AFF.

“Perlawanan Piala AFF tetap akan berlangsung di satu venue saja. Jadinya, kita akan menilai kesesuaian venue itu untuk mengadakan perlawanan terbabit,” kata Noor Azman.

Sumber Gambar: FAM

Dalam saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022, skuad Harimau Malaya akan berdepan dua pesaing utama, Vietnam dan Singapura dalam kumpulan B. Dua lagi pasukan yang melengkap kumpulan ini ialah Myanmar dan Laos.

Sementara itu Kumpulan A menempatkan juara bertahan Thailand bersama Filipina, Indonesia, Kemboja dan satu lagi pasukan, sama ada Brunei atau Timor-Leste yang akan ditentukan melalui perlawanan play-off. .

Kejohanan AFF edisi 2022 bermula pada 23 Disember, lima hari selepas Piala Dunia FIFA akan datang di Qatar berakhir, memberikan aksi bola sepak berterusan untuk peminat bola sepak Asia Tenggara.