40,000 penyokong bola sepak tempatan dijangka akan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada hari selasa ini untuk menyaksikan perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di antara Malaysia menentang Singapura.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam mengumumkan sebanyak 32,652 keping tiket sudah pun terjual dan jumlah tersebut dijangka akan meningkat sehingga 40,000 kerana para penyokong sudah mula berlumba-lumba membelinya secara dalam talian.

Penurunan harga tiket terbuka daripada RM50 kepada RM30 turut membuatkan para penyokong tidak sabar untuk hadir ke stadium memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya.

Tiket Premium yang sebelum ini berharga RM70 dan RM60, kini diturunkan ke RM50; tiket Grandstand yang sebelum ini berharga RM100 dan RM70, kini diturunkan ke RM60; manakala tiket kanak-kanak (6-12 tahun) yang sebelum ini berharga RM10, kini diturunkan ke RM5.

Bagaimanapun, FAM tidak dapat memberikan harga promosi kombo seperti yang pernah dibuat ketika Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun lalu kerana perlawanan peringkat kumpulan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 hanya membabitkan dua perlawanan yang mana jaraknya agak jauh iaitu beza 10 hari bagi kedua-dua perlawanan, berbanding tiga perlawanan dalam tempoh selang tujuh hari pada Kelayakan Piala Asia 2023.

Perlawanan ini cukup penting dan bakal menentukan sama ada skuad kendalian Kim Pan  Gon kali ini berjaya mara ke peringkat separuh akhir atau tidak.

Malaysia wajib mencatat kemenangan kerana Singapura kini berada di kedudukan kedua dalam kumpulan B dengan 7 mata apabila berjaya mengikat Vietnam tanpa jaringan kelmarin.

Para peminat boleh mendapatkan tiket tersebut menerusi laman web TicketHotline. Sokongan padu daripada peminat akan membantu skuad Harimau Malaya mengutip 3 mata sekaligus mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir.

Jika berjaya menduduki dua tempat teratas dalam kumpulan, saingan separuh akhir akan berlangsung secara timbal balik pada 6 atau 7 Januari 2023 dan 9 atau 10 Januari 2023 manakala aksi final timbal balik dijadual pada 13 dan 16 Januari 2023.

Ayuh! Kita memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya!