Filipina berkenduri jaringan pada aksi kedua saingan kumpulan A Piala AFF Suzuki 2020 apabila skuad kendalian Stewart Hall itu membelasah Timor Leste 7-0 di Stadium Nasional, Singapura sebentar tadi.

Tunduk kepada Singapura pada aksi sulung tempoh hari jelas menjadi indikasi jelas bahawa barisan pemain skuad The Azkals itu mahu menjadikan Timor Leste sebagai mangsa pertama mereka.

Ia jelas dibuktikan apabila Filipina terus melancarkan serangan ke kubu Timor Leste sebaik sahaja wisel permulaan ditiup pengadil dari Malaysia, Nazmi Nasaruddin. Malah, Filipina begitu klinikal pada babak pertama dengan enam gol yang terhasil.

Pesta jaringan Filipina bermula pada minit ke-21 apabila rembatan kaki kiri pemain bek kanan, Martin Steuble dari luar kawasan penalti gagal diselamatkan penjaga gol, Aderito Raul Fernandes bagi memisahkan kedua-dua pasukan.

Bekas pemain import Kedah, Amin Nazari menjadikan kedudukan 2-0 berselang 10 minit kemudian susulan kesilapan pertahanan lawan yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya. Peluang keemasan itu digunakan sepenuhnya Amin untuk melepaskan rembatan bagi menggegar jaring Timor Leste.

Aderito Raul terus menjadi topik perbualan pada perlawanan ini berikutan kegagalannya menangkap dengan baik tandukan daripada Angel Guirado sekali gus membolehkan Filipina mengukuhkan lagi kedudukan pada minit ke-35.

Filipina yang terus bernafsu untuk menambah jaringan berjaya menghasilkan tiga lagi jaringan masing-masing menerusi Patrick Reichelt pada minit ke-40, Jesper Nyholm (minit ke-45) dan Maranon Morejon ketika aksi memasuki masa tambahan.

Pemain tengah, Kevin Ingreso melengkapkan malam gemilang buat Filipina dengan jaringan ketujuh pada minit ke-78 setelah beliau mudah melakukan rembatan kaki kiri dalam kawasan penalti.

Kemenangan tujuh gol tanpa balas itu meletakkan Filipina di tangga kedua dengan tiga mata tetapi kedudukan itu pasti akan berubah kerana Thailand dan Myanmar yang turut mengumpul tiga mata akan bertemu sesama sendiri, sebentar lagi.