Ketua Jurulatih Thailand, Mano Polking melaungkan keyakinan tinggi terhadap kemampuan anak buahnya untuk menewaskan juara bertahan, Vietnam di separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020 malam ini.

Ia bakal menjadi perlawanan cukup sengit apatah lagi kedua-dua pasukan ini mempunyai kedudukan ranking FIFA yang lebih tinggi.

Berdasarkan rekod, Vietnam tidak pernah kalah kepada mana-mana pasukan dari Asia Tenggara sejak dibawah kendalian Park Hang-seo dan mereka juga mempunyai rekod baik ke atas Thailand dengan mencatat 1 kemenangan serta 3 keputusan seri.

Justeru itu, Thailand tekad leburkan rekod tersebut dan akan memberikan segala-galanya untuk mara ke final Piala Suzuki AFF 2020.

“Vietnam dibawah kendalian Park Hang-seo tidak pernah kalah kepada Thailand. Saya fikir ia sentiasa menjadi yang pertama dalam segalanya dan kami sudah bersedia untuk mencatat kemenangan serta pecahkan rekod itu.

“Mereka juga merupakan juara bertahan dan saya menjangkakan perlawanan ini akan berlangsung dengan lebih sengit. Vietnam mungkin akan bermain corak bertahan dan kami akan terus menyerang” kata Polking dipetik dalam Bangkok Post. 

Polking juga mengenali corak permainan Vietnam kerana beliau pernah mengendalikan pasukan Ho Chi Minh City dalam saingan V. League musim lalu.

“Saya pernah bekerja di Vietnam tetapi untuk tempoh yang pendek dan ia tidak banyak membantu. Apa yang saya lihat, mereka sebuah pasukan yang bagus dan saya tahu macam mana pemain mereka beraksi.

“Mereka telah berkumpul selama 5 bulan dan persefahaman antara pemain sangat bagus. Walaupun kami hanya berlatih dalam tempoh yang singkat tetapi saya sangat berpuas hati dengan prestasi pemain dan keputusan perlawanan bertambah baik,” jelas Polking.

Thailand dijangka akan menurunkan barisan terkuat yang terdiri daripada penyerang terbanyak Piala AFF, Teerasil Dangda, Chanathip Songkrasin, Theerathon Bunmathan sambil dibantu oleh beberapa pemain muda yang meningkat naik seperti Thanawat Thungchitthavorn, Supachai Jaided dan Supachok Sarachat.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan lain dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 melalui pautan dibawah. 

Piala AFF 2020: Park Hang-seo Tiada Masalah Jumpa Thailand, Yakin Vietnam Ke Final

Presiden FA Thailand ‘Hulur’ Bonus Peribadi RM1.25 Juta Jika Tewaskan Vietnam Di Separuh Akhir Piala AFF 2020

Robert Alberts Anggap Indonesia Lebih Unggul Berbanding Singapura