Thailand mengesahkan status selaku kuasa besar dalam sejarah saingan Piala AFF Suzuki apabila menjulang kejuaraan buat kali keenam selepas terikat 2-2 bertemu Indonesia pada aksi final kedua yang berlangsung di Stadium Nasional, Singapura sebentar tadi.

Kemenangan agregat 6-2 susulan kelebihan empat gol dimiliki pada perlawanan pertama tempoh hari itu juga menyaksikan Thailand menamatkan kempen kali ini tanpa sebarang kekalahan.

Sedar hanya jaringan awal dapat menghidupkan sedikit sisa peluang mereka untuk bangkit, Indonesia memulakan perlawanan dengan serangan ke arah kubu Thailand yang dikawal Siwarak Tedsungnoen.

Usaha tersebut membuahkan hasil pada minit ketujuh apabila percubaan leret dari luar kawasan penalti dilakukannya gagal diselamatkan dengan baik Siwarak untuk meletakkan Indonesia dihadapan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, anak-anak buah Alexandre Polking tampil dengan lebih baik dalam menyerap tekanan serta menjelmakan serangan berbahaya.

Hanya berselang dua minit kemudian, Thailand hampir menyamakan kedudukan menerusi serangan balas pantas tetapi rembatan daripada Teerasil Dangda berjaya diselamatkan penjaga gol, Nadeo Arga Winata.

Kredit Foto: Changsuek

Minit ke-12 juga menyaksikan Thailand mendapat peluang terbaik menerusi Supachok Sarachat. Namun percubaan ‘outside foot’ ketika beliau tidak dikawal pertahanan Indonesia hanya sedikit melewati palang gol.

Nadeo terus menjadi penghalang buat Thailand untuk mendapatkan jaringan pada separuh masa pertama apabila beliau bertindak cemerlang dalam menafikan rembatan jarak jauh daripada Thanawat Suengchittawon ketika perlawanan memasuki minit ke-20.

Bagaikan mendapat tonik berguna ketika rehat separuh masa pertama, Thailand berjaya mendapatkan jaringan penyamaan pada minit ke-54 selepas penyerang gantian, Adisak Kraisorn menyempurnakan percubaan susulan ketika rembatan awal Bordin Phala ditepis keluar Nadeo.

Kedudukan terus berubah buat Thailand hanya berselang dua minit kemudian selepas giliran Sarach Yooyen pula melakukan rembatan dari luar kawasan penalti untuk melebarkan kedudukan.

Indonesia mendapat jaringan saguhati pada minit ke-80 apabila Egy Maulana Vikri melepaskan rembatan cantik setelah menerima hantaran berkualiti daripada Witan Sulaeman untuk perlawanan berkesudahan seri 2-2 sekali menghadiahkan kejuaraan Piala AFF keenam buat skuad Gajah Perang itu.

Manakala, ia juga kali keenam buat Indonesia muncul sebagai naib juara bagi mengulangi pencapaian edisi 2000, 2002, 2004, 2010 dan 2016.

Dengan kegagalan Chanathip Songkrasin dan Teerasil Dangda untuk menambah jaringan, ini bermakna mereka berdua berkongsi status sebagai penjaring terbanyak bersama Safawi Rasid dan penyerang Filipina, Bienvenido Morejon Maranon.