Peluang masih terbuka buat Singapura dan Indonesia bagi merebut tempat ke pentas final Piala AFF Suzuki 2020 apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi separuh akhir pertama yang berlangsung di Stadium Nasional, sebentar tadi.

Corak permainan yang begitu menghiburkan ditampilkan sepanjang perlawanan dengan aksi saling berbalas serangan pantas disajikan para pemain.

Ketika Indonesia kelihatan cukup berbahaya pada separuh masa pertama, keadaan itu berubah pada baki 45 minit perlawanan dengan skuad kendalian Tatsuma Yoshida pula tampil dengan lebih baik selepas beberapa pertukaran dilakukannya.

Singapura bagaimanapun terlebih dahulu mendapat peluang untuk mendapatkan jaringan tetapi Ikhsan Fandi gagal melakukan rembatan tepat ke arah pintu gol lawan ketika ‘cutback’ Song Ui-young tidak dikeluarkan dengan baik penjaga gol Indonesia, Nadeo Argawinata pada minit ke-14.

Berselang lima minit kemudian giliran Witan Sulaeman pula terlepas peluang keemasan selepas percubaannya hasil gerakan solonya dalam kawasan penalti sekadar melewati palang gol.

Kehampaan tersebut ditebus Witan pada minit ke-28 selepas pemain yang beraksi di Poland itu berjaya menolak masuk bola susulan hantaran ‘cutback’ dilakukan Asnawi Mangkualam untuk meletakkan pasukan pelawat di hadapan.

Kedudukan hampir sekali lagi berubah buat anak buah Shin Tae-yong pada minit ke-37, namun percubaan Witan dari jarak dekat sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol.

Bagaikan mendapat tonik berguna pada rehat separuh masa pertama, Singapura hadir dengan lebih bertenaga dan usaha tanpa mengenal penat itu membuahkan hasil pada minit ke-70.

Berpunca daripada lorongan cantik Faris Ramli dalam kawasan penalti membolehkan Ikhsan melakukan percubaan bagi membolosi kawalan Nadeo untuk memadamkan kelebihan dimiliki Indonesia.

Kedudukan terikat itu kekal hingga tamat permainan meskipun kedua-dua pasukan berusaha keras untuk mendapatkan jaringan kemenangan. Separuh akhir kedua bakal berlangsung pada 25 Disember nanti.