Dua jaringan daripada Teerasil Dangda menyaksikan Thailand mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Filipina pada aksi kumpulan A Piala AFF Suzuki yang berlangsung di Stadium Nasional, Singapura sebentar tadi.

Thailand yang mendominasi sebahagian besar perlawanan nyata memberikan kesukaran buat Filipina dengan corak permainan kemas ditampilkan Chanathip Songkrasin dan rakan sepasukannya.

Kemenangan penting itu juga diserikan lagi dengan rekod peribadi dilakarkan Teerasil Dangda yang sudah meninggalkan Noh Alam Shah untuk bergelar penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam saingan Piala AFF dengan 19 gol.

Anak buah Alexandre Polking itu hampir di hadapan seawal minit keenam tetapi percubaan pemain pertahanan, Kritsada Kaman selepas menerima hantaran baik susulan sepakan percuma Theerathon Bunmathan diselamatkan Kevin Ray Mendoza Hansen.

Theerathon terus menjadi masalah buat Filipina apabila kelincahannya dalam memecah masuk kawasan lawan sentiasa memberikan ancaman.

Ia jelas terbukti selepas hantaran lintangnya dari sebelah kanan pintu gol Filipina disudahkan dengan baik oleh peledak berbisa, Teerasil Dangda bagi memberikan kelebihan buat Thailand pada minit ke-26.

Teerasil sekali lagi menguji gawang Filipina berselang lima minit kemudian tetapi percubaan kaki kiri dilepaskan penyerang berusia 33 tahun itu dinafikan Kevin Ray.

Aksi tersusun diteruskan Thailand pada babak kedua dan mereka tidak menunggu lama untuk terus menguji lawan dengan dua percubaan berbahaya dalam tempoh dua minit.

Bagaimanapun, Kevin Mendoza begitu tangkas dalam menggagalkan rembatan Supachok Sarachart dan ledakan jarak jauh daripada Thanawat Suengchittawon.

Ketika Thailand ghairah untuk menambah jaringan, Patrick Reichelt membuatkan skuad ‘Gajah Perang’ tersentak apabila beliau menyempurnakan peluang terhidang di hadapan gol susulan kegagalan Manuel Bihr mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya untuk kembali mengikat kedudukan pada minit ke-57.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Thailand kembali memperkemaskan aksi dan hampir mendapatkan jaringan pada minit ke-70 tetapi percubaan Thanawat ketika Kevin Mendoza sudah pun tertewas diselamatkan Daisuke Sato di atas garisan gol.

Tekanan yang diberikan Thailand membuatkan pertahanan Filipina, Amani Aguinaldo melakukan kekasaran terhadap Thitiphan Puangchan untuk menghadiahkan sepakan penalti buat juara lima kali Piala AFF itu.

Teerasil yang mengambil sepakan pada minit ke-78 itu tidak mensia-siakan peluang tersebut untuk sekali lagi meletakkan Thailand di hadapan sekali gus memastikan kemenangan ketiga berturut-turut buat mereka.

Kemenangan itu meletakkan Thailand di tangga teratas kumpulan A dengan sembilan mata untuk layak ke peringkat separuh akhir.

Manakala, Filipina hampir pasti tersingkir daripada persaingan kalah mati.