Malaysia membuka tirai kempen Piala AFF Suzuki 2020 dengan nota kemenangan selepas berjaya menundukkan Kemboja 3-1 pada aksi kumpulan B yang berlangsung di Stadium Bishan, sebentar tadi.

Kehilangan khidmat Khairulazhan Khalid dan Muhammad Faisal Abdul Halim yang disahkan positif COVID-19 jelas tidak mengganggu tumpuan pemain lain untuk memberikan sumbangan berkesan pada perlawanan ini.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe memberikan tekanan buat lawan pada 20 minit awal dengan tiga percubaan berbahaya dilancarkan. Bagaimanapun, tandukan Syafiq Ahmad seawal minit kedua sedikit melewati palang gol.

Manakala, rembatan jarak jauh diledakkan Safawi Rasid dan Guilherme De Paula dinafikan ketangkasan penjaga gol Kemboja, Keo Soksela.

Jaringan pendahuluan yang diharapkan skuad negara menjelma pada minit ke-23 apabila Safawi Rasid berjaya menyempurnakan sepakan penalti untuk meletakkan memisahkan kedua-dua pasukan. Sepakan penalti itu dihadiahkan buat Malaysia apabila Akhyar Rashid dikasari Ken Chansopheak dalam kawasan penalti.

Aksi selepas itu menyaksikan Kemboja yang mendapat bimbingan Kaisuke Honda pula memiliki peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan.

Bagaimanapun, Khairul Fahmi Che Mat jelas tidak berdepan masalah untuk menafikan percubaan daripada Sieng Chanthea, Sos Suhana dan sepakan sudut Lim Pisoth yang hampir terus menerjah gawang skuad negara.

Akhyar Rashid menggandakan kedudukan pada minit ke-61 apabila beliau yang menerima lorongan cantik hasil serangan balas pantas dilakukan Syafiq Ahmad dan kemudiannya melepasi kawalan dua pertahanan Kemboja dan melepaskan rembatan bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Kemasukan Luqman Hakim Shamsudin jelas meningkatkan kreativiti jentera serangan skuad negara setelah beliau membuka ruang buat Akhyar Rashid untuk melorongkan bola kepada Safawi dalam kawasan penalti,

Safawi yang tidak dikawal pertahanan Kemboja bagaimanapun sekadar melakukan percubaan lemah sekali gus menggagalkan usahanya untuk mendapatkan gol ketiga.

Kehampaan tersebut ditebus pemain gantian, R. Kogileswaran pada minit ke-78 apabila penyerang PJ City FC itu mudah menolak masuk bola hasil hantaran lintang yang cukup baik daripada Luqman Hakim.

Hasrat Malaysia untuk tidak dibolosi pada perlawanan ini tidak kesampaian apabila Kemboja dihadiahkan sepakan penalti berikutan ‘kekasaran kontroversi’ Khairul Fahmi terhadap Rosib.

Rosib yang mengambil sepakan pada minit ke-90 tidak mensia-siakan peluang terhidang untuk perlawanan berkesudahan 3-1 memihak Malaysia.

Pemain terbaik perlawanan: Akhyar Rashid