Dua jaringan disumbangkan Chanathip Songkrasin berjaya mencalarkan ego Vietnam selepas Thailand mencatatkan kemenangan 2-0 pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2020 yang berlangsung di Stadium Nasional, Singapura sebentar tadi.

Kemenangan itu bukan sahaja memberikan kelebihan buat Thailand menjelang aksi kedua pada Ahad nanti, malah ia telah meleburkan rekod tanpa kalah Vietnam ketika bertemu pasukan Asia Tenggara sejak dibimbing Park Hang-seo sejak 29 September 2017.

Aksi bertenaga ditampilkan skuad kendalian Alexandre Polking itu nyata memberikan kesukaran buat Vietnam untuk mempamerkan karakter sebenar mereka seperti kebiasaan terutamanya pada separuh masa pertama.

Jaringan pendahuluan menjelma seawal minit ke-14 apabila percubaan Chanathip yang cuba dihalang penjaga gol, Tran Nguyen Manh terkena semula kapten Thailand tersebut lalu bola bergolek masuk ke gawang Vietnam untuk memisahkan kedudukan kedua-dua pasukan.

Thailand terus melebarkan kedudukan berselang sembilan minit kemudian selepas gerakan menarik dicipta di kawasan lawan disudahkan dengan tenang Chanathip untuk sekali lagi menggembirakan penyokong setia skuad ‘Gajah Perang’ itu.

Nguyen Quang Hai hampir merapatkan defisit jaringan pada minit ke-34, namun sepakan percuma yang diambil di kawasan kiri pintu gol Thailand sekadar singgah di tiang gol.

Tonggak Vietnam itu terus hampa ketika perlawanan memasuki minit ke-67 selepas percubaannya dari luar kawasan penalti singgah pula di palang gol untuk sekali lagi menyelamatkan gawang Thailand daripada dibolosi.

Aksi lebih tersusun ditampilkan Vietnam pada separuh masa kedua masih tidak mampu untuk menghadirkan jaringan yang diharapkan. Malah, Thailand hampir menambah satu lagi jaringan pada lewat permainan.

Bagaimanapun, sepakan penalti yang diambil Chanathip berjaya diselamatkan Nguyen Manh untuk kedudukan 2-0 itu kekal hingga tamat permainan memihak Thailand.