Thailand jelas berada di kelas tersendiri apabila mempamerkan aksi kemas untuk mudah menundukkan Indonesia 4-0 pada perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2020 yang berlangsung di Stadium Nasional, Singapura sebentar tadi.

Ketua pasukan, Chanathip Songkrasin terus menjadi watak utama buat Thailand selepas pemain berusia 28 tahun itu menjaringkan dua gol manakala Supachok Sarachat dan Bordin Phala masing-masing menambah satu gol untuk memberikan kelebihan selesa buat juara lima kali itu.

Lebih menarik untuk diperkatakan tentang keupayaan Thailand ialah langkah Alexandre Polking yang melakukan tujuh perubahan terhadap kesebelasan utamanya pada perlawanan ini.

Perkara itu bagaimanapun langsung tidak menjadi masalah buat skuad ‘Gajah Perang’ yang kelihatan cukup selesa mendominasi perlawanan sebaik sahaja wisel permulaan ditiupkan pengadil perlawanan dari Arab Saudi, Alhunfush Shukri Hussain.

Thailand hanya memerlukan dua minit sahaja untuk membuka tirai jaringan apabila gerakan lincah bek kanan, Phillip Roller yang melepasi kawalan dua pemain pertahanan membolehkan Chanathip meledakkan rembatan kaki kiri bagi menewaskan penjaga gol, Nadeo Arga Winata.

Kredit foto: Changsuek

Bordin Phala hampir menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-12 tetapi percubaan voli dilakukannya dalam kawasan penalti diselamatkan Asnawi Mangkualam di atas garisan gol manakala tandukan susulan Yusef Elias Dollah sekadar melewati palang gol.

Ketika perlawanan memasuki minit ke-41, Alfeandra Dewangga Santosa seharusnya menyalahkan diri sendiri susulan kegagalannya menyempurnakan peluang terhidang ketika beliau tidak dikawal pertahanan Thailand.

Chanathip melebarkan kedudukan pada minit ke-52 apabila rembatan leretnya setelah menerima tolakan ke belakang daripada Supachok Sarachat sekali lagi membolosi Nadeo.

Tidak cukup dengan kelebihan tersebut, Thailand menambah dua lagi jaringan menerusi Supachok pada minit ke-67 dan giliran Bordin pula melakukannya ketika masa sebenar hanya berbaki tujuh minit untuk ditamatkan.

Kedua-dua pasukan bakal bertembung pada aksi final kedua pada 1 Januari nanti dan boleh dikatakan tugas yang agak mudah perlu dihadapi Thailand.