Indonesia mengekalkan momentum baik dalam kempen Piala AFF Suzuki 2020 apabila berjaya menundukkan Laos 5-1 pada aksi kedua kumpulan B yang berlangsung di Stadium Bishan, Singapura sebentar tadi.

Masih segar dengan kemenangan 4-2 bertemu Kemboja tempoh hari, anak buah Shin Tae-yong meneruskan aksi bertenaga dengan mendominasi secara total perlawanan ini.

Ketika aksi 20 minit awal tanpa sebarang percubaan menarik dapat dijelmakan, Indonesia berjaya mendahului berselang tiga minit kemudian menerusi Asnawi Mangkualam.

Sepakan penalti tersebut dihadiahkan buat Indonesia selepas Kydavone Souvanny mengasari Alfreandra Dewangga dalam kawasan penalti.

Irfan Jaya menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-35 apabila pemain berusia 25 tahun itu menampan bola menggunakan pehanya ketika mendapat hantaran lintang dilakukan Asnawi.

Laos yang sesekali mengancam kubu Indonesia berjaya mengurangkan defisit jaringan selepas Kydavone melakukan rembatan padu yang gagal dinafikan penjaga gol muda, Ernando Ari Sutaryadi pada minit ke-41.

Aksi babak kedua memperlihatkan Indonesia menggandakan asakan dalam usaha mereka untuk menambah jaringan dan usaha tersebut membuahkan hasil pada minit ke-56.

Jaringan ketiga itu hadir susulan ‘cutback’ daripada Irfan Jaya yang disudahkan dengan baik Witan Sulaeman menerusi percubaan dalam kawasan penalti bagi menewaskan penjaga gol gantian, Solasak Thilavong.

Witan kemudiannya bertindak cemerlang dalam menjadi arkitek kepada jaringan keempat yang dihasilkan oleh Ezra Walian pada minit ke-77

Ketua pasukan, Evan Dimas melengkapkan kemenangan selesa 5-1 untuk memastikan Indonesia kini berada di tangga teratas dengan kelebihan jaringan berbanding Malaysia yang akan berhadapan dengan Vietnam pada 8.30 malam ini.