Indonesia memulakan kempen Piala AFF Suzuki 2020 dengan langkah kanan apabila berjaya menundukkan Kemboja 4-2 pada aksi kumpulan B yang berlangsung di Stadium Bishan, Singapura sebentar tadi.

Kemenangan pada aksi sulung ini meletakkan skuad kendalian Shin Tae-yong itu di tangga kedua berikutan kelebihan jaringan yang dimiliki berbanding juara bertahan, Vietnam.

Aksi menarik ditampilkan kedua-dua pasukan sepanjang 90 minit perlawanan dengan Indonesia kelihatan cukup bertenaga pada babak pertama dengan tiga gol dihasilkan.

Manakala, Laos pula seperti mendapat tonik berguna pada waktu rehat untuk tampil dengan lebih baik bagi memberikan saingan hebat.

Skuad ‘Garuda’ bermula dengan cukup garang apabila memperolehi jaringan pendahuluan seawal minit ketiga permainan menerusi pemain tengah bertahan, Rachmat Irianto.

Rachmat melonjak tinggi untuk menanduk masuk bola susulan sepakan penjuru yang diambil bekas pemain tengah Selangor, Evan Dimas bagi meletakkan Indonesia di hadapan.

Evan kemudiannya menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-17 selepas ketua pasukan Indonesia itu melepasi kawalan tiga pemain pertahanan Kemboja lalu melakukan rembatan rendah yang gagal dinafikan penjaga gol, Kimhuy Hul.

Tidak cukup dengan dua jaringan tersebut, Rachmat Irianto menambah jaringan ketiga ketika permainan memasuki minit ke-33 setelah sekali lagi beliau menanduk masuk bola hasil sepakan penjuru Pratama Arhan untuk melebarkan kedudukan buat Indonesia.

Berselang empat minit kemudian, giliran Kemboja pula mencipta jaringan menerusi situasi sepakan sudut apabila pemain pertahanan, Yue Safy menanduk masuk bola membolosi penjaga gol, Syahrul Fadil bagi merapatkan defisit gol.

Pemain gantian, Ramai Melvin Rumakiek terus menceriakan penyokong Indonesia selepas rembatan padu diledakkannya dalam kawasan penalti tidak dapat diselamatkan Kimhuy pada minit ke-54.

Kemboja yang jelas tidak menyerah kalah dengan mudah berjaya mendapatkan jaringan kedua berselang enam minit kemudian selepas sepakan percuma diambil Prak Mony Udom membias terkena benteng dibina lalu menerjah gawang Indonesia.

Kedudukan 4-2 itu kekal hingga tamat permainan untuk memastikan Indonesia memulakan kempen edisi 2021 dengan nota kemenangan.