Egy Maulana Vikri yang kini sudah menjalani latihan bersama skuad kebangsaan Indonesia menegaskan dirinya berada dalam keadaan baik untuk membantu pasukannya bagi menghadapi Singapura pada separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2020, malam esok.

Peluang masih terbuka buat kedua-dua pasukan dalam usaha mereka merebut tempat ke perlawanan akhir selepas terikat 1-1 pada aksi pertama yang menyaksikan Witan Sulaeman dan Ikhsan Fandi masing-masing menjaringkan gol di setiap babak.

Kehadiran Egy pastinya ditagih pengendali Indonesia, Shin Tae-yong dalam memantapkan lagi jentera serangan bagi memastikan pentas final keenam buat skuad Garuda dalam saingan Piala AFF.

Menurut sumber laman sesawang rasmi Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), pemain berusia 21 tahun itu sudah mula menyertai sesi latihan pasukan yang diadakan di Stadium Bukit Gombak, Bukit Batok di Singapura semalam.

“Alhamdulillah, saya sudah mula berlatih di sini bersama pasukan dan jurulatih. Ya, Alhamdulillah keadaan saya pada ketika ini bagus dan tiada sebarang masalah [untuk beraksi].”

“Barisan kejurulatihan akan memberitahu segala penilaian mereka di mesyuarat pasukan nanti. Jadi, kami perlu memberikan fokus terhadap aksi kedua, melupakan perlawanan kelmarin dan memberikan segala yang terbaik di perlawanan kedua nanti.”

“Lebih baik buat saya untuk fokus di dalam pasukan, jurulatih juga sudah mengetahui segala kelemahan Singapura, jadi kita perlu menyiapkan diri dan mengikuti segala arahan diberikan jurulatih.”

“[Para penyokong] teruskan menyokong dan doakan kami. InsyaaAllah kita mampu untuk memenangi perlawanan di separuh akhir kedua nanti,” tambah Egy Maulana lagi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia di sini:

Gianluca Vialli Dedahkan Masih Belum Pulih Daripada Kanser

Gasperini: Perbualan Ketika VAR Perlu Didengari, Ia Seperti Rahsia Negara

Chanathip Songkrasin Mohon Maaf Gagal Cetak Hatrik

Sumber