Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Aksi final Antara Zon Piala AFC 2022 melibatkan Sogdiana Jizzakh menentang Kuala Lumpur City (KL City FC), malam ini dijangka berlangsung sengit kerana kedua-dua pasukan tekad bermain habis-habisan.

Artikel Berkaitan:

Ketua jurulatih Sogdiana, Ulugbek Bakayev mendedahkan pihaknya banyak melakukan kerja rumah kaji corak permainan KL City kerana belum ada pengalaman bertemu pasukan dari Asia Tenggara musim ini.

“Kami jangka perlawanan menjadi sukar kerana bertemu pasukan yang kuat. Kami akan bermain sebagai satu pasukan dan mahu menang serta layak bersama-sama.

“Kami juga sudah menganalisis kekuatan KL City dan mendapati mereka ada ramai pemain berkualiti yang mampu menyudahkan peluang terhidang. Oleh itu, tugas kami ialah tidak memberi peluang kepada mereka dan mengurangkan kesilapan di bahagian pertahanan,” katanya.

Sumber Gambar: AFC

Bakayev juga akui tugas sukar sedang menanti anak buahnya selepas melihat rakaman perlawanan separuh akhir Antara Zon ketika KL City menentang kelab India, ATK Mohun Bagan pada bulan lepas.

Namun, beliau berpendapat pasukan yang kurang melakukan kesilapan, akan mara ke perlawanan akhir Piala AFC 2022 yang bakal berlangsung pada 22 Oktober ini.

“Pergerakan mereka dari bertahan kepada serangan cukup pantas dan tidak mudah kehilangan bola. Mereka betul-betul tajam di depan gawang dan jarang lepaskan peluang terhidang.

“Mereka mempunyai pemain berkualiti yang dilatih dengan baik dalam aspek permainan ini, dan saya boleh katakan itu adalah kekuatan mereka. Saya fikir pasukan yang kurang melakukan kesilapan akan menang,” ujar Bakayev.

Mana-mana pasukan yang menang akan bertemu kelab dari Oman, Al Seeb yang berjaya ke perlawanan akhir Piala AFC 2022 selepas menewaskan kelab Bahrain, AL Riffa 4-0 semalam.