Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City), Bojan Hodak mengakui tugas sukar sedang menanti pasukannya apabila bakal menentang PSM Makassar dalam aksi final Piala AFC Zon Asean di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam esok.

Malah, KL City berpeluang mencipta satu lagi sejarah sebagai juara Zon ASEAN sekaligus mara ke final Antara Zon (Inter-Zon).

Pasukan yang dinobatkan sebagai juara Zon ASEAN sepatutnya bertemu kelab dari India, ATK Mohun Bagan di peringkat separuh akhir Antara Zon namun ATK Mohun Bagan tidak dibenarkan beraksi kerana Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) telah digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ekoran campur tangan pihak ketiga dalam organisasi tersebut.

Bagaimanapun, Bojan Hodak harus memikirkan strategi terbaik untuk mencapai kemenangan dan beliau terpaksa memilih sama ada untuk menurunkan penjaga gol import, Kevin Ray Mendoza atau dua tonggak serangan iaitu Romel Morales dan Jordan Mintah.

“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar dan persaingan taktikal kerana kedua-dua pasukan sudah kenal corak permainan masing-masing.  Saya pernah melatih PSM Makassar, dan saya kenal setiap pemain mereka.

“Tiada gol dijaringkan ketika bertemu mereka (di peringkat kumpulan) tetapi saya masih ingat kami dinafikan oleh tiang gol sebanyak dua kali.

“Kami sekarang skuad yang berbeza berbanding dua bulan lalu. Kini ada Jordan Mintah, Kyrian Nwabueza dan Kevin Koubemba. Saya percaya dengan kemampuan pemain dan barisan pertahanan juga berada dalam keadaan yang bagus,” jelas Bojan Hodak.

PSM Makassar mara ke final selepas menewaskan Kedah 2-1. Namun, mereka kehilangan dua tonggak utama iaitu Agung (Mannan) and Yuran (Fernandes), yang dilayangkan kad merah pada perlawanan itu.

Bojan Hodak tidak melihat ia sebagai kelebihan kerana PSM Makassar masih mempunyai beberapa pemain yang cukup berbahaya di bahagian serangan.

“PSM mempunyai kelajuan di bahagian sayap dan kami perlu berhati-hati dengan gandingan adik beradik Sayuri, Yance dan Yakob. Kami juga perlu memerhati kapten mereka, Wiljan Pluim yang membentuk gandingan mantap bersama penyerang dari Brazil, Everton.

“Kami tidak boleh memberi mereka banyak ruang kerana sangat berbahaya dan mampu memberi ancaman kepada pasukan,” tambah Bojan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Undian Piala AFF 2022: Malaysia Berada Dalam Balang 2 Bersama Indonesia

Presiden Buriram United Enggan Hantar Pemain Muda Sertai Skuad Kebangsaan

ACL 2022: Urawa Red Terlalu Unggul, Perjalanan JDT Terhenti Di Saitama

FIFA Gantung India Kerana Campur Tangan Pihak Ketiga