KL City lakar satu lagi sejarah baharu apabila dinobatkan sebagai juara Zon Asia Tenggara (ASEAN) Piala AFC (AFC Cup) selepas menewaskan kelab dari Indonesia, PSM Makassar 5-2 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium KLFA, Cheras.

Sebaik sahaja pengadil dari Jepun, Araki Yusuke meniup wisel sepak mula, skuad kendalian Bojan Hodak itu terus melancarkan serangan bertali arus sekaligus memberi tekanan kepada benteng pertahanan lawan.

Usaha mereka membuahkan hasil apabila memperolehi gol pertama pada minit ke 32 melalui rembatan Ramel Morales melalui situasi kelam kabut dalam kotak penalti hasil hantaran tandukan belakang Zhafri Yahya.

Tiada langsung percubaan berbahaya dilakukan oleh penyerang PSM Makassar dan KL City jelas menguasai perlawanan di separuh masa pertama. Malah, jaringan pertama turut menaikkan semangat skuad warga kota untuk terus mencari gol kedua berbekalkan sokongan padu penyokong sendiri,

Satu minit sebelum tamat separuh masa pertama, penyerang import pinjaman dari Terengganu, Jordan Mintah mencetak nama sebagai penjaring apabila menyudahkan hantaran cantik Ramel Morales dari sebelah kanan untuk gol kedua KL City.

Memasuki separuh masa kedua, KL City terus mengandakan asakan dan Ramel Morales nyaris menambah jaringan gol namun percubaan sepakan guntingnya tersasar.

5 minit kemudian, KL City dihadiahkan penalti selepas Zhafri Yahya dikasari oleh pemain pertahanan PSM Makassar. Kapten pasukan, Paulo Josue dengan tenang menyudahkan sepakan penalti sekaligus memastikan KL City selesa di depan dengan jaringan 3-0.

Bagaimanapun, jaringan tersebut tidak mematahkan semangat pemain PSM Makassar untuk bangkit mencari gol pertama.

Pada minit ke 58, benteng pertahanan KL City dihukum menerusi rembatan kencang Yakob Sayuri dari luar kotak penalti sekaligus menewaskan penjaga gol, Azri Ghani untuk gol pertama PSM Makassar.

Perlawanan mula menjadi rancak apabila PSM Makassar mengatur beberapa gerakan berbahaya dan kerap kali memberi masalah kepada barisan pertahanan KL City.

Beberapa minit kemudian, sorakan penyokong PSM Makassar bergema di Stadium KLFA apabila Akbar Tanjung menanduk masuk gol kedua hasil sepakan sudut. Gol itu turut memberikan semangat tambahan kepada mereka untuk mencari jaringan penyamaan.

Disebabkan oleh kebangkitan pasukan pelawat, Bojan Hodak terpaksa melakukan dua pertukaran pemain dengan memasukkan Hadin Azman dan Shaqirin bagi menggantikan tempat Ramel Morales dan Ryan Lambert.

Pada minit ke 84, penyokong KL City akhirnya menarik nafas lega apabila Paulo Josue menambah gol ke 4 selepas memanfaatkan bola muntah penjaga gol PSM Makassar, Reza Pratama yang gagal menangkap kemas rembatan Jordan Mintah.

Tidak cukup dengan itu, KL City terus menambah gol kelima menerusi sepakan penalti Hadin Azman di minit akhir perlawanan. Keputusan 5-2 kekal sehingga tamat separuh masa kedua sekaligus menobatkan KL City sebagai juara peringkat Zon ASEAN dengan rekod tanpa kalah setakat ini.

Kemenangan itu juga bermakna KL City telah membawa pulang 100,000 usd (RM448,550.00) selaku juara Zon ASEAN dan mara ke peringkat separuh akhir Antara Zon (Inter-zone).

KL City Berpeluang Ke Final Antara Zon Jika Dinobatkan Juara Zon ASEAN Piala AFC

Pasukan yang dinobatkan sebagai juara Zon ASEAN dijadualkan bertemu kelab dari India, ATK Mohun Bagan di peringkat separuh akhir Antara Zon namun ia bergantung kepada keputusan penggantungan FIFA terhadap India.

Jika penggantungan itu kekal sehingga 7 September ke atas, KL City layak ke perlawanan akhir Antara Zon bertemu kelab dari Uzbekistan atau Hong Kong pada 5 Oktober 2022.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Undian Piala AFF 2022: Malaysia Berada Dalam Balang 2 Bersama Indonesia

Presiden Buriram United Enggan Hantar Pemain Muda Sertai Skuad Kebangsaan

ACL 2022: Urawa Red Terlalu Unggul, Perjalanan JDT Terhenti Di Saitama

FIFA Gantung India Kerana Campur Tangan Pihak Ketiga