Kedah Darul Aman (KDA) FC terpaksa melupakan saingan Piala AFC 2022 selepas tunduk 1-2 ditangan PSM Makassar pada aksi separuh akhir Zon Asia Tenggara yang berlangsung di Stadium Capt I Wayan Dipta, Bali sebentar tadi.

Follow VOCKET di Telegram untuk isu isu viral terkini

Kekalahan tersebut juga turut menambah duka skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu dimana KDA pada ketika ini berada dalam keadaan terumbang-ambing sejak pulang dari Bali pada Julai lalu.

PSM nyata sukar digugat sejak daripada awal permainan yang menyaksikan mereka tampil dengan cukup berbahaya dalam usaha mencari jaringan pendahuluan.

Everton Nascimento hampir meletakkan PSM Makassar dihadapan pada minit ketiga permainan, namun percubaan rendah dilakukannya dalam kawasan penalti sekadar singgah di palang gol.

Memasuki minit ke-16, Rizky Eka Pratama melakukan hantaran lintang yang cukup baik buat Yakob Sayuri tetapi rembatan dilakukannya berjaya diselamatkan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim.

Gawang Kedah terus diasak dengan rembatan Willem Pluim terkena tiang gol dan percubaan susulan dari jarak dekat oleh Muhammad Arfan dinafikan Ifwat bagi menyelamatkan keadaan.

Anak buah Bernardo Tavares itu akhirnya memperoleh jaringan diharapkan apabila hantaran lintang Rizky Pratama ditolak mudah Yakob Sayuri yang tidak dikawal pertahanan Kedah untuk memberikan kelebihan buat wakil Indonesia tersebut pada minit ke-31.

PSM Makassar melebarkan kedudukan pada minit ke-54 apabila pemain pertahanan, Yuran Fernandes menanduk masuk bola hasil hantaran sepakan penjuru yang diambil Arfan.

Malang bagaimanapun menimpa Fernandes selepas beliau diperintahkan keluar padang susulan kad kuning kedua diterimanya ketika permainan memasuki minit ke-62 ekoran kekasaran dilakukan terhadap Ronald Ngah Wanja.

Keadaan itu jelas telah mengubah keadaan permainan sekali gus memberikan sedikit kesukaran buat mereka dan Kedah cuba untuk mengintai peluang bagi mengurangkan defisit jaringan.

Usaha skuad Kenari dengan beberapa serangan berbahaya dilancarkan membuahkan hasil pada minit ke-86 apabila rembatan Fayadh Zulkifli dalam kawasan penalti berjaya melepasi jangkauan penjaga gol, Muhammad Reza Pratama.

Masa tambahan selama tujuh minit yang diberikan tidak mampu digunakan dengan baik untuk menyaksikan PSM Makassar layak ke final Zon Asia Tenggara menanti pemenang antara Viettel dan KL City FC.