Hadiah lumayan menanti KL City sekiranya mereka berjaya menewaskan kelab dari Oman, Al Seeb pada perlawanan akhir saingan Piala AFC 2022 yang bakal berlangsung pada 22 Oktober ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Menurut perkongsian Asean Football di laman media sosial Twitter, sekiranya KL City menewaskan Al Seeb, mereka akan menerima hadiah sebesar $1.5 Juta atau sekitar RM7 Juta. Apabila mereka tewas, skuad bimbingan Bojan Hodak itu akan menerima hadiah sebesar $750,000 atau sekitar RM3.5 Juta.

Selain itu, skuad warga kota juga berpeluang untuk mendapatkan slot ke pusingan kelayakan saingan AFC Champions League (ACL) 2023 sekiranya bergelar juara.

Menurut article 3.6 dalam buku peraturan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), pemenang Piala AFC (AFC Cup) akan diberi satu slot ke pusingan kelayakan ACL walaupun mereka tidak layak menerusi kejuaraan Liga Domestik.

KL City Piala AFC 2022

Berdasarkan kedudukan terkini Liga Super 2022, KL City berada di tangga kelima dengan 29 mata selepas mengharungi 20 perlawanan. Bagaimanapun, KL City tidak akan beraksi dalam saingan AFC Cup musim depan jika mereka tewas dalam pusingan Kelayakan ACL.

Ini kerana slot 1+2 masih dikekalkan untuk musim depan iaitu 1 slot automatik ke peringkat kumpulan ACL (Juara Liga Super) dan 2 slot automatik ke AFC Cup (Naib Juara Liga Super & Juara Piala FA)

Memandangkan JDT telah dinobatkan sebagai Juara Piala FA serta Juara Liga Super 2022, maka dua slot AFC Cup 2023 akan diberikan kepada pasukan tempat kedua dan ketiga Liga Super 2022.

Kuala Lumpur mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan kelab Uzbekistan, Sogdiana Jizzakh pada aksi final Antara Zon menerusi penentuan sepakan penalti 5-3.