Pengendali dari Perancis, Philippe Troussier semalam telah diperkenalkan secara rasmi sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan Vietnam bagi menggantikan tempat Park Hang Seo.

Beliau telah menandatangani kontrak tiga tahun bermula 1 Mac 2023 hingga 31 Julai 2026. Selain skuad Senior, Troussier juga akan mengendalikan pasukan bawah 22 tahun Vietnam. 

Jurulatih yang berusia 67 tahun itu menjadi pilihan utama Federasi Bola Sepak Vietnam (VFF) kerana mempunyai pengalaman melatih skuad Vietnam bawah 19 tahun (B-19) pada 2019 hingga 2021 selain menjadi Pengarah Teknikal VFF. Beliau juga cukup memahami budaya bola sepak negara tersebut.

Malah, Troussier kali ini menyasarkan untuk bawa Vietnam mara ke Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah.

Menurut kenyataannya dalam sidang media semalam, sasaran tersebut tidak mustahil untuk dicapai berdasarkan kedudukan ranking FIFA Vietnam di tangga 96 dunia serta pertambahan jumlah pasukan di Piala Dunia 2026.

“Dengan pertambahan pasukan di Piala Dunia daripada 32 kepada 48 pasukan, ini adalah peluang terbaik untuk Vietnam. Inilah sasaran utama kita. Sudah tentu ini adalah satu impian dan bukan mustahil untuk dicapai.

“Tetapi saya tidak boleh lakukan seorang diri kerana saya hanya boleh membimbing untuk hadapi cabaran yang mendatang. Saya percaya jika pemain dan jurulatih berusaha keras, kami boleh lakukannya,” katanya dipetik dalam Vietnam Express.

Berdasarkan rekod, Troussier pernah membimbing skuad kebangsaan Jepun mara ke pusingan kedua Piala Dunia 2002 buat kali pertama dalam sejarah setelah dua tahun sebelumnya melatih mereka untuk menjuarai Piala Asia 2000.

Selain Piala Dunia 2026, Troussier juga ditugaskan untuk memastikan skuad B-22 Vietnam mempertahankan pingat emas Sukan SEA 2023 dan menjuarai Piala AFF 2024.

“Saya bertanggungjbawaa untuk kedua pasukan senior dan bawah 23 tahun, tetapi saya tidak mahu mereka dipisahkan. Saya juga akan melihat beberapa pemain muda dalam pasukan bawah 20 tahun kerana untuk layak ke Piala Dunia 2026, kita perlu membina skuad asas yang mana pemain ini akan berusia 22 hingga 26 tahun nanti.

“Pasukan kebangsaan bukan kelab dan misi saya adalah untuk mengenalpasti pemain yang terbaik. Setiap perlawanan berbeza, begitu juga dengan formasi dan taktikal yang akan dirancang mengikut kekuatan lawan,” jelas Troussier.

Pada tahun 2014, Troussier pernah dicalonkan untuk menjadi ketua jurulatih Malaysia bagi menggantikan tempat Datuk Rajagobal. Beliau dikatakan menuntut gaji bulanan lebih RM416,000 iaitu angka yang dianggap cukup besar dan tidak mampu dibayar oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).