Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mendedahkan bahawa tunggakan gaji selama enam bulan melibatkan para pemain Melaka United adalah bernilai RM2.3 juta.

Satu nilai yang jelas menunjukkan kelemahan ketara pengurusan Melaka United sehingga menyebabkan para pemain cukup terkesan dengan isu tersebut.

Keadaan itu turut menyaksikan bekas pemain Melaka United, Syukri Baharun yang kini bersama Perak turut meluahkan kekecewaannya di laman sosial beliau berhubung isu tunggakan gaji tersebut.

Sehingga tarikh akhir notis yang diminta untuk melunaskan tunggakan gaji tersebut semalam, pihak Melaka United masih berdiam diri dan tidak mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan tunggakan itu.

“Tunggakan gaji yang bermula daripada Julai 2022 sehingga Disember 2022 telah menyebabkan pemain Melaka United FC berdepan dengan situasi 6 bulan tidak bergaji,” menurut kenyataan rasmi dikeluarkan PFAM.

Kredit Foto: PFA Malaysia

“Lebih mendukacitakan, pemain yang mempunyai komitmen bulanan terpaksa berhempas pulas untuk meneruskan kelangsungan diri dan keluarga sehingga berulang kali menerima panggilan daripada pihak bank untuk menyelesaikan pembayaran bulanan.”

“Realiti yang dihadapi oleh pemain Melaka United FC amat mendukacitakan kerana sebagai pemain bola sepak profesional di dalam negara, mendapat bayaran gaji daripada majikan berdasarkan kepada persetujuan di dalam kontrak adalah hak yang sewajarnya dipenuhi dan tidak perlu untuk mereka merayu seolah seolah meminta bantuan ataupun seolah olah mereka melakukan kesalahan untuk menerima gaji mereka sendiri.”

“Terdahulu, pada 4 November 2022, satu keputusan telah dikeluarkan oleh Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan bagi kelab Melaka United FC untuk melunaskan jumlah satu bulan gaji terlebih dahulu namun sehingga kini, jumlah tersebut masih gagal untuk dibayar.”

“Terkini, laporan tunggakan gaji bagi bulan bulan yang berikutnya telah dihantar ke FAM bagi tujuan perbicaraan Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan.”

”Dalam masa yang sama, isu pemilikan yang timbul di dalam Melaka United FC mengeruhkan lagi keadaan kerana pihak pihak yang sewajarnya bertanggungjawab untuk menangani masalah tunggakan gaji ini dilihat seolah olah tidak mahu memberi kerjasama.”