Isu tunggakan gaji terus mewarnai Liga Malaysia apabila Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mengesahkan telah menerima laporan daripada 17 orang pemain Melaka United (MUFC) pada 8 Ogos 2022 mengenai tunggakan gaji bagi bulan Jun dan Julai serta baki bayaran bagi bulan Januari 2022.

Menurut kenyataan rasmi PFAM, jumlah tunggakan gaji Melaka United telah mencecah 3 bulan kerana pemain turut tidak menerima pembayaran gaji bagi bulan Ogos.

“Pihak PFAM telah mengambil tindakan untuk menghantar notis kepada MUFC bagi menjelaskan tunggakan berkenaan dan perkara ini telah dibawa ke peringkat FAM.

“Sehingga hari ini, pihak PFAM masih menunggu agar suatu tarikh ditetapkan oleh pihak FAM bagi membincangkan perkara ini di NDRC. Pihak PFAM juga menggesa agar penetapan tarikh perbicaraan di NDRC dipercepatkan agar proses pembelaan dapat dijalankan dengan segera.

“PFAM mengambil serius masalah tunggakan gaji yang dihadapi oleh para pemain dan akan membantu untuk membela hak pemain dari semasa ke semasa.

Pihak kelab dinasihatkan agar sentiasa menghormati obligasi yang telah dipersetujui di dalam kontrak agar dapat menjaga kepentingan kedua dua belah pihak,” kata kenyataan rasmi.

Bulan Januari lalu, PFAM pernah mendedahkan Melaka United masih mempunyai tunggakan gaji yang melibatkan pemain Skuad Utama adalah sebanyak 3 bulan dan tunggakan bagi Skuad Piala Presiden adalah sebanyak 2 bulan setengah.

Ketika kita disajikan dengan keterujaan menyaksikan KL City melangkah ke Final Antara Zon Piala AFC 2022, tidak dinafikan masih terdapat beberapa masalah yang berulang setiap musim sekaligus menyukarkan Liga Malaysia untuk melangkah ke tahap yang lebih baik.

Masalah tunggakan gaji ini akan memberikan imej buruk kepada Liga Malaysia maka sukar untuk mana-mana penaja mahu terlibat dengan pasukan sekaligus mengurangkan keyakinan syarikat besar untuk menjadi penaja utama.

Tahun lepas sebanyak 147 kes tunggakan gaji melibatkan permohonan bekas pemain dari Malaysia telah diluluskan dan menerima geran program ‘FIFA Fund for Football Players’.

Jumlah tersebut menjadikan Malaysia di kedudukan kedua selepas Greece yang merekodkan kelulusan permohonan kes terbanyak iaitu sebanyak 291.

Program yang turut dikenali sebagai FIFA FFP itu merupakan jalinan kerjasama melibatkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Persekutuan Antarabangsa Pemain Bola Sepak Profesional (FIFPro).