Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail mengesahkan pihak bakal menghantar aduan rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kegagalan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) melunaskan tunggakan gaji beberapa pemain skuad Singa Utara pada musim ini.

Beliau berkata demikian selepas pertemuan bersama 14 pemain skuad Singa Utara, pada minggu lalu selepas pengurusan PFA dikatakan membisu berhubung isu berkenaan.

“Tunggakan gaji berkenaan turut melibatkan bayaran cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Kita agak kecewa dengan kegagalan PFA dalam menjaga kebajikan pemain dan saya akan membawa perkara ini kepada FAM supaya tindakan tegas dapat diambil kerana ini melibatkan mata pencarian pemain,” katanya dalam Astro Awani

64567452_1888153161285957_1790978010694811648_o
FOTO: PFAM

Minggu lalu, bekas penyerang skuad kebangsaan, Safee Sali menegaskan beliau dan rakan-rakannya tetap menuntut hak mereka kerana mahukan pengurusan setiap pasukan menghormati kontrak yang sudah ditandatangani meskipun pasukan Perlis sudah dibatalkan penyertaan oleh FAM.

“Ini hak kami dan kami tetap akan tuntut. Jangan memandang ringan kepada pemain dan kontrak yang telah ditandatangani setiap pemain.

“Ini kerjaya kami, jadi kalau kita hendak maju ke depan, saya berharap perkara-perkara seperti ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya dalam Stadium Astro.

Beliau juga turut mengingatkan pemain lain agar segera membuat laporan sekiranya mempunyai masalah bersama pasukan baharu supaya kes mereka dapat didengari dengan kadar yang segera.

“Kami telah pun membuat aduan rasmi kepada PFAM. Bagi kami, ini satu (langkah) penting untuk melihat industri bola sepak kita bertambah maju. Kalau masalah ini berterusan, sampai bila-bilalah bola sepak kita tidak akan maju ke depan,” ujarnya.

65762122_1888230154611591_8133067749514543104_n (1)
FOTO: PFAM

Mengulas mengenai isu tunggakan gaji melibatkan pemain kelab Liga divisyen 3 (M3) iaitu Batu Dua FC, Izham menjelaskan pihaknya masih menunggu maklumat lengkap daripada pemain pasukan berkenaan sebelum membuat laporan rasmi kepada FAM.

Kelmarin, media tempatan melaporkan beberapa pemain Batu Dua FC bakal mengambil keputusan untuk angkat kaki serta “memboikot” baki lebih 10 perlawanan Liga M3 pada musim ini kerana kegagalan pengurusan pasukan itu menyelesaikan tunggakan gaji selama tiga bulan.

Sumber