Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kemungkinan akan menganjurkan semula Pestabola Merdeka sebagai persiapan skuad Harimau Malaya bagi menghadapi saingan Piala Asia 2023.

Menurut kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Firdaus Mohamed dalam Harian Metro, pihaknya akan membincangkan tentang penganjuran tersebut dengan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Sebenarnya perancangan untuk menganjurkan semula Pestabola Merdeka sudah lama difikirkan tetapi ia terhenti seketika kerana pandemik Covid-19 selama dua tahun.

“Tapi selepas ini ia akan dibincangkan semula bersama Presiden sebab kita mahu momentum skuad negara yang layak ke Piala Asia dapat diteruskan. Maka di situ memang ada keperluan untuk mengembalikan semula penganjuran Pestabola Merdeka.

“Saya fikir aksi persahabatan sahaja tidak mencukupi kerana aura pertandingan adalah lebih baik buat skuad negara sebelum beraksi di Piala Asia,” katanya.

Malaysia
FOTO: FAM

Pestabola Merdeka merupakan sebuah kejohanan bola sepak tahunan yang diadakan dengan tujuan untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia. Kejohanan ini telah bermula sejak tahun 1957 dan merupakan kejohanan bola sepak jemputan yang tertua di Asia.

Semasa 1950-an dan awal 1980-an, ia merupakan satu kejohanan berprestij di kalangan negara-negara Asia kerana para peserta menghantar pemain skuad utama mereka.

Penganjuran semula kejohanan ini sudah tentu disambut baik oleh peminat bola sepak tempatan dengan syarat FAM menjemput pasukan yang berada di ranking FIFA lebih tinggi dan bukan lagi dalam kalangan negara ASEAN seperti Laos, Kemboja serta Timor Leste.

Pemilihan pasukan dalam Pestabola Merdeka kali ini  diharapkan mengikut kualiti dan kedudukan ranking mereka yang lebih baik daripada Malaysia supaya skuad Harimau Malaya mendapat pendedahan terbaik bertemu lawan yang lebih kuat.

Pasukan bawah 23 tahun negara dibawah kendalian Datuk Ong Kim Swee muncul sebagai juara Pestabola Merdeka 2013 di Stadium Darul Makmur.

Satu lagi perkara yang perlu dipertimbangkan oleh FAM ialah lokasi perlawanan Pestabola Merdeka. Memandangkan keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil masih belum ditahap memuaskan, adalah lebih baik ia berlangsung di luar lembah klang seperti di Stadium Sultan Ibrahim atau Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Sebagai rekod, Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pernah menjadi tuan rumah kejohanan Pestabola Merdeka pada tahun 2013 yang melibatkan pasukan Thailand, Singapura dan Myanmar.

Menurut Firdaus, penganjuran kejohanan itu tidak semestinya berlangsung pada bulan Ogos seperti kebiasaannya kerana pihaknya perlu menyusun segala perancangan dengan teliti.

“Sebab ia membabitkan pasukan luar, jadi kita kena lihat komitmen pasukan yang ingin kita jemput dan semua ini mengambil masa.

“Selepas itu pasukan yang akan dijemput nanti kalau boleh berada di ranking lebih baik berbanding skuad negara dan dari situ kita boleh mendapatkan perlawanan kompetitif sebelum beraksi di Piala Asia,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

Menteri Anggap Sorakan Penyokong Punca Pemain Harimau Malaya Hilang Fokus

Kim Pan-gon Ucap Terima Kasih Kepada TMJ Kerana Menyalur 15 Pemain JDT Untuk Harimau Malaya

Khalid Ali Bimbang De Paula Tak Tahu Fungsinya Sebagai Penyerang Utama