Dalam sesi forum penyokong bersama Tunku Mahkota Johor (TMJ) selaku pengerusi Malaysia Football League (MFL), ada ditekankan mengenai kepentingan fasiliti untuk meningkatkan lagi permainan bola sepak dalam Liga Super Malaysia terutamanya.

TMJ memberitahu bahawa pasukan sepatutnya memberikan fokus dan perhatian kepada aspek fasiliti teras yang menyumbang kepada perkembangan mutu dan kualiti bola sepak itu sendiri terutamanya fasiliti padang latihan yang baik serta padang stadium yang berkualiti tinggi.

Menurut TMJ lagi, ada pemain-pemain import yang berkira-kira untuk beraksi di Malaysia, tetapi bertanya bagaimana keadaan padang di Malaysia adakah bagus atau sebaliknya.

Pasukan Liga Super Minta MFL Bantu Selenggara Padang

TMJ semalam ada mengeluarkan satu kenyataan bahawa ada beberapa pasukan yang meminta bantuan MFL untuk menyelenggarakan padang stadium mereka.

Perkara ini sebenarnya bukan kerja penganjur liga, tetapi ianya adalah tanggungjawab setiap pasukan untuk menyediakan kemudahan padang yang terbaik bagi membantu perkembangan mutu bola sepak itu sendiri.

“Ada beberapa pasukan, dalam 7 ke 8 pasukan yang beraksi dalam Liga Super Malaysia minta MFL untuk menyelenggarakan padang stadium mereka.

“Kita merupakan satu-satunya liga dimana yang penganjur liga perlu menyelenggarakan padang bola sepak pasukan yang bertanding.

MFL Sediakan Peruntukan Khas Bantuan Pasukan Selenggara Padang Musim 2019

Selepas memberitahu wujudnya ‘request’ untuk bantuan penyelenggaraan padang dan fasiliti daripada 67% pasukan dalam Liga Super, MFL telah membuat kajian dan akhirnya bersetuju untuk mengeluarkan satu peruntukan khas.

Peruntukan khas penyelenggaraan fasiliti stadium ini adalah untuk membantu pasukan-pasukan menyediakan fasiliti yang lebih baik bagi meningkatkan kualiti permainan bola sepak.

Perutukan ini hanya diberikan untuk setahun pertama sahaja dan selepas itu setiap pasukan perlu terus menyelenggarakan padang menggunakan peruntukan dari pasukan sendiri.

Sebaliknya jika pasukan gagal atau tidak mahu menambahbaik fasiliti ini ia akan ditolak daripada geran tahunan yang diberikan kepada setiap pasukan.

“Jadi tahun depan, untuk pengetahuan semua, MFL telah menyediakan satu bajet mengikut kemampuan kami untuk menyelenggarakan padang dan fasiliti stadium, tetapi kami berikan syarat untuk 1 tahun sahaja.

“Selepas itu, jika pasukan yang bertanding tidak mahu menyelenggara atau menambahbaik fasiliti masing-masing dan menggunakan kepada tujuan lain, kita akan potong dari geran tahunan mereka.