Ketua jurulatih Petaling Jaya City FC K.Devan tidak menganggap penundaan perlawanan berdepan Johor Darul Takzim malam ini memberi kesan negatif kepada pasukan sebaliknya menerima keputusan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kerana mengambil kira aspek kesihatan.

Perlawanan yang sepatutnya berlangsung di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin ditunda ke tarikh baharu iaitu 16 Julai ekoran masalah kesihatan yang melanda sebahagian besar pemain dan pegawai JDT selepas disahkan dijangkiti virus influenza.

Jelas Devan, masalah kesihatan seperti itu tidak boleh dielakkan dan melihat penangguhan perlawanan ini daripada aspek positif dengan berharap keadaan akan kembali pulih.

“Tiada masalah daripada pihak kami dan saya menghormati keputusan yang telah dibuat kerana kita tiada pilihan apabila melibatkan faktor kesihatan ini.

“Saya sebagai jurulatih tetap positif dan persiapan pemain-pemain saya tetap berjalan seperti biasa dan tidak rasa terjejas pun gara-gara penundaan perlawanan ini.

“Paling penting adalah tahap kesihatan kerana perkara seperti ini susah nak elak dan saya harap semuanya akan kembali normal”, jelasnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa, menerima keputusan MFL untuk mengubah aksi dengan JDT diawalkan satu hari iaitu pada 14 Julai kepada 13 Julai bagi membolehkan JDT memiliki tempoh rehat dua hari sebelum bertemu PJ City.

Tambahnya, isu kesihatan antara perkara yang perlu diberi perhatian serius oleh mana-mana pihak dan atas semangat kesukanan mereka menyokong penuh keputusan untuk mengubah tarikh perlawanan itu.

Nokman Mustaffa

Sumber Gambar: MFL

“Di pihak KLFA, kami prihatin dengan masalah dihadapi JDT dan saya tidak ada masalah untuk menerima keputusan ditetapkan MFL kerana sememangnya wajar beri sedikit ruang kepada JDT kerana ini adalah isu kesihatan, tidak boleh pandang ringan

“Ada hikmahnya juga aksi kami ditetapkan pada 13 Julai, sekurang-kurangnya kami akan bermain serentak dengan dua lagi pasukan yang sedang bersaing di zon penyingkiran iaitu PKNP dan Felda.

“Maka, fokus pemain tidak akan terasa terganggu sekiranya ketahui keputusan dua pasukan itu lebih awal, jadi ada baiknya bermain pada waktu serentak iaitu pada Sabtu, ” katanya.

Dalam masa yang sama, penyokong daripada kedua-dua pasukan itu semestinya memahami situasi yang sedang berlaku sambil menyifatkan masalah kesihatan yang dialami oleh beberapa pemain dan pegawai JDT itu tidak boleh diambil ringan.

Isfarihin Johari

Sumber Gambar: MFL

“Kami tetap menghormati pasukan JDT dan penangguhan perlawanan ini adalah wajar jika dilihat daripada faktor kesihatan mereka.

“Apa yang penting, kita harapkan kesembuhan mereka secepat mungkin dan keadaan kembali pulih seperti biasa,” kata salah seorang penyokong PJ City, R.Ashvin

“Terima kasih kepada penyokong PJ City juga kerana faham situasi di Johor Bahru dan sama-samalah kita doakan agar pemain dan pegawai JDT yang terlibat sembuh sepenuhnya”, kata wakil Boys of Straits (B.O.S), Isfarihin Johari.

APA KOMEN ANDA?

Anda Mungkin Suka

© 2019 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group