Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam menjelaskan keperluan mengubah jadual perlawanan Piala Malaysia 2022 bergantung pada pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan menentukan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pada 20 Oktober ini.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 yang bakal memberi kesan kepada perjalanan TM Piala Malaysia 2022  yang dijadual bermula 25 Oktober ini.

Menurut laporan Bernama, kehadiran pasukan keselamatan di venue perlawanan sangat penting dan mereka mungkin terpaksa bertugas di tempat mengundi.

Justeru itu, MFL akan menunggu keputusan rasmi oleh SPR berhubung tarikh PRU15 sebelum membuat keputusan mengenai perubahan jadual Piala Malaysia.

“Dengan penggunaan knockout stage (format pusingan 16 pasukan) tahun ini, setiap perlawanan adalah berharga dan kita jangka ia akan mengundang penyokong yang ramai ke stadium.

“Keperluan keselamatan di venue perlawanan adalah kerisauan MFL terutamanya dengan pembubaran Parlimen memandangkan pihak keselamatan mungkin ada tugasan berbeza dari situasi semasa,” katanya dipetik dalam Bernama. 

Kejohanan tertua di Asia ini menyaksikan tiada aksi peringkat kumpulan di mana semua pasukan akan diundi untuk memulakan cabaran di pusingan 16 pasukan secara timbal balik.

Ketiadaan perlawanan di peringkat kumpulan dapat memberikan ruang dan masa kepada kelab-kelab dan juga MFL yang sekali gus mengimbangi kualiti kejohanan dan memastikan pencegahan kecederaan pemain.

Tambahan pula, kerajaan Malaysia telah mengeluarkan peringatan bahawa akan berlaku fenomena air pasang besar yang akan menyebabkan berlakunya banjir di hampir seluruh negeri di Malaysia pada bulan-bulan yang akan datang.

Bagi format TM Piala Malaysia 2022, semua 16 pasukan akan berentap di pusingan kalah mati dari pusingan pertama,suku akhir dan separuh akhir dengan format timbal balik tanpa perlu melalui perlawanan di peringkat kumpulan.

Perlawanan akhir akan diadakan pada 26 November 2022 di venue neutral yang akan diumumkan oleh MFL.