Esok tumpuan peminat bola sepak tempatan pasti terarah kepada perlawanan CIMB Liga Super 2020 diantara juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Selangor di Stadium Sultan Ibrahim.

Diatas kertas, kelebihan memihak kepada JDT kerana memiliki barisan yang berkualiti namun skuad Gergasi Merah bukanlah pasukan yang mudah untuk dikalahkan walaupun kini menghuni kedudukan ke 6 dalam carta liga.

Pasukan kendalian B. Satiananthan itu belum mencatat sebarang kekalahan sejak penangguhan Liga Malaysia akibat wabak COVID-19 pada bulan Mac lepas termasuk dalam perlawanan persahabatan.

Kali terakhir Selangor merekodkan kekalahan pada musim ini ialah ketika menentang Kedah pada 15 Mac 2020.

Bagaimanapun, JDT juga tidak kurang hebatnya kerana masih kekal konsisten mengutip 3 mata dalam 3 perlawanan berturut-turut. Malah, mereka juga mempunyai peluang cerah untuk raih gelaran juara Liga Super buat kali ketujuh musim ini jika berjaya menewaskan Selangor.

Selangor turun tanpa 3 tonggak utama

Pengendali Selangor, B. Satiananthan mengakui tugas sukar sedang menanti di Johor apabila pasukannya akan turun tanpa kelibat 3 tonggak utama iaitu Syazwan Zainon, Brendan Gan serta penjaga gol, Khairul Azhan.

Syazwan dilaporkan mengalami kecederaan, Brendan pula digantung perlawanan manakala Khairul Azhan akan melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihannya.

“Satu saya mahu pemain memberikan yang terbaik, tunjukkan yang mereka (pemain Selangor) pun boleh main bola. Kerana usaha keras kita mungkin dapat curi mata atau dapat kemenangan.

“Kalau dapat satu mata dekat Johor, saya sudah syukur. Tapi kita sebagai pasukan, jangan fikir nak seri, kita perlu fikir nak menang. Kita kena tunjukkan semangat dan kena hormati diri kita, jangan terlampau hormat pihak lawan,” kata Satiananthan dipetik dalam Berita Harian.

119168920_4327896147282843_4643126552734228275_o
Brendan Gan dilayangkan kad merah ketika menentang PDRM. FOTO: FA Selangor

JDT beraksi tanpa tonggak pertahanan, Mauricio Dos Santos

Biarpun JDT memiliki barisan pemain yang terbaik namun benteng pertahanan mereka sedikit goyah apabila kehilangan khidmat Mauricio Dos Santos yang digantung satu perlawanan selepas mengutip 3 kad kuning.

Bekas pemain skuad kebangsaan, Fadhli Shas dijangka jadi pilihan menggantikan tempat Mauricio untuk berganding dengan Aidil Zafuan.

Namun begitu, pengendali JDT, Benjamin Mora enggan terlalu memikirkan tentang masalah itu sebaliknya fokusnya adalah untuk menewaskan Selangor di halaman sendiri.

“Kita harap dapat terus mencapai kemenangan dengan Selangor di laman sendiri yang pasti tampak sengit, dan sedikit tuah untuk mencapai matlamat mempertahankan kejuaraan liga dengan lebih cepat.

“Kami tidak boleh terlalu selesa dan perlu memikirkan untuk capai kemenangan dalam setiap perlawanan. Malah harus berwaspada bagi mengelak berlaku kejutan,” kata Mora.

119446455_1807183889444902_8758651386413382790_o
FOTO: JST

Pasukan mana akan menang?

Berdasarkan rekod, JDT masih belum tewas di Stadium Sultan Ibrahim sejak dibuka secara rasmi pada 22 Februari lalu.

Beraksi di atas padang jenis rumput Zeon Zoysia pasti akan memberikan pengalaman berbeza kepada Selangor dari segi kelajuan bola serta kelancaran membuat hantaran kepada rakan sepasukan.

Perlawanan ini juga bergantung kepada sejauh mana kebijaksanaan kedua-dua jurulatih merencanakan taktikal masing-masing. Pasukan yang kurang melakukan kesilapan mudah berpeluang cerah untuk muncul sebagai pemenang.

Mampukah Selangor meleburkan rekod tanpa kalah JDT di Stadium Sultan Ibrahim? Sangat menarik untuk disaksikan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah. 

Jurulatih Arab Saudi Dipecat Selepas Seri 3-3 Menentang Indonesia

Jepun Bakal Hadapi Cameroon Dan Ivory Coast Dalam Perlawanan Persahabatan

FIFA Arahkan Anderlecht Bayar RM2.56 Juta Kepada Buriram United, Komisen Penjualan Frank Acheampong Masih Tertunggak