Kelab gergasi Indonesia, Persija Jakarta bakal memiliki sebuah stadium bola sepak yang berkelas dunia apabila proses pembangunannya yang telah bermula sejak tahun 2019 kini berada di fasa pemasangan rangka bumbung.

Memiliki kapasiti sebanyak 82,000, Stadium Antarabangsa Jakarta (JIS) itu turut dilengkapi dengan fungsi atap bumbung mudah alih yang boleh buka tutup seperti gelanggang Real Madrid iaitu Stadium Santiago Bernabeu.

JIS akan menjadi gelanggang rasmi pasukan Persija Jakarta dan dijangka akan siap sepenuhnya pada tahun depan. Ia juga bakal menjadi mercu tanda baharu ibu kota Jakarta.

“Semoga dengan kehadiran stadium ini akan membuatkan bola sepak Jakarta semakin maju dan berkembang. Persija dan Jakarta harus menjadi penanda aras bola sepak di Indonesia,” kata Presiden Persija Jakarta, Mohamad Prapanca melalui kenyataan rasmi.

51420210714113849894
Stadium Antarabangsa Jakarta kini dalam pembinaan.

Prapanca juga menjelaskan pihaknya tidak sabar untuk menggunakan fasiliti stadium tersebut kerana ia akan memberi pengalaman baharu kepada para penyokong setia untuk menyaksikan perlawanan dengan lebih selesa.

“Setelah sekian lama stadium ini hanya menjadi angan-angan, akhirnya kota Jakarta kini akan memiliki stadium bertaraf dunia.

“Kami semua tidak sabar untuk menggunakan JIS dengan segala fasiliti yang ada,” ujar Prapanca.

35020190315162717401

Selepas siap sepenuhnya, stadium ini akan menjadi antara stadium yang paling canggih di Asia Tenggara setaraf dengan Stadium Sultan Ibrahim milik pasukan JDT dari Malaysia. Prapanca menegaskan impian untuk memiliki stadium tersebut tidak akan tercapai tanpa sokongan padu daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan.

“Untuk mengembangkan sebuah kelab bola sepak, ia memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak seperti syarikat korporat dan para penyokong kami, The Jakmania.

“Serta sudah tentu kerjasama dengan kerajaan Jakarta sangat diperlukan. Kerana sampai bila pun, Persija tetap mewakili sebuah kota Jakarta,” tambahnya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

ACL 2021: Catat Empat Kemenangan Dan Layak Ke Pusingan Kalah Mati, BG Pathum Bawa Pulang RM1.2 Juta

Thailand Tidak Dapat Gunakan Khidmat Pemain Leicester City Hadapi Kelayakan AFC B-23

Neil Etheridge Dirawat Di Hospital Kerana Jangkitan COVID-19