Beberapa hari lepas, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais memberi kenyataan pasukannya mungkin akan menarik diri daripada bertanding dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Keputusan itu terpaksa dibuat selepas mendapati mereka kini berdepan masalah kewangan yang serius dan tidak mempunyai sumber pendapatan yang kukuh.

Perkembangan itu turut menarik perhatian Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Sarawak yang menggesa agar Posa Majais letak jawatan kerana gagal menyelesaikan kemelut kewangan.

“Kami amat terkejut apabila beliau (Posa) menyatakan kemungkinan FAS akan menarik diri.

“Ia merupakan keputusan yang kurang tepat, kerana akan memberi kesan negatif terhadap bola sepak Sarawak,” kata Pengerusi Persatuan Bekas Pemain Sarawak, Waili Abang dipetik dalam Suara Sarawak. 

Justeru itu, mereka berharap FAS dapat dipimpin oleh muka baharu yang lebih layak dan berpengalaman demi mengembalikan semula zaman kegemilangan skuad bujang senang.

“Daripada menarik diri, kami merasakan beliau yang harus melepaskan jawatannya dan diganti dengan orang lain yang mempunyai pengalaman dan kemampuan untuk memimpin persatuan itu,” kata Waili.

Menurut laporan daripada SarawakCrocs, FAS dibawah kepimpinan Posa turut mempunyai isu pembayaran gaji tertunggak kepada jurulatih asing mencecah RM500,000 dan sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Lima pasukan di bawah badan induk berkenaan bersaing dalam liga anjuran FAM iaitu Sarawak United (Liga Premier), Sarawak United II (Liga M3), Sarawak United III (Piala Presiden), Sarawak United IV (Piala Belia) dan Sarawak United (Liga Futsal FAM).

Baca artikel lain mengenai perkembangan terkini bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Kedah Lakukan Penstrukturan Semula, Gaji Pemain Mungkin Dikurangkan Musim Depan

Keputusan Tidak Benarkan Felda United Dan UKM FC Bertanding Kekal