Posisi penyerang utama pasukan kebangsaan merupakan satu masalah yang dihadapi oleh ketua jurulatih yang pernah mengendalikan pasukan negara sejak kali terakhir Malaysia memenangi Piala AFF Suzuki pada 2010 lalu serta Safee Sali sudah melepasi zaman kegemilangan beliau.

Namun, kehadiran dua pemain iaitu penyerang Johor Darul Ta’zim, Syafiq Ahmad dan penyerang Perak, Shahrel Fikri Fauzi dalam pasukan negara sejak kebelakangan ini dilihat menjadi jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi.

Syafiq menampilkan aksi yang baik bersama JDT dalam saingan Liga Malaysia dan juga Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini. Penyerang berusia 24 tahun ini beberapa kali tampil dalam kesebelasan utama bagi digandingkan dengan Diogo Luis Santo dan beliau turut menyumbang jaringan.

Syafiq Ahmad
Sumber Gambar: FAM

Bagi Shahrel Fikri pula, bekas pemain Nakhon Ratchasima ini menjadi pilihan ketua jurulatih skuad The Boss Gaurus, Mehmet Durakovic bagi diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan Perak dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Meskipun Shahrel diturunkan sebagai pemain sayap kanan dan bukannya sebagai penyerang utama, namun pemain yang mesra dengan panggilan Eki ini tetap menampilkan aksi yang baik dan beliau berjaya menyumbang jaringan.

Shahrel Fikri

Melihat kepada prestasi semasa kedua-dua pemain, kehadiran Shahrel dan Syafiq nyata memberikan satu nafas baharu untuk peminat menyaksikan posisi penyerang utama pasukan negara diisi oleh penyerang yang berwibawa dan mampu untuk menjaringkan gol.

Apa yang tinggal adalah Shahrel dan Syafiq mendapat minit bermain yang cukup bersama kelab dan pasukan negeri masing-masing dalam saingan Liga Malaysia bagi memastikan keduanya dapat mengekalkan momentum serta prestasi semasa.