Malam ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan dinobatkan sebagai juara CIMB Liga Super 2020 jika berjaya mengutip sekurang-kurangnya satu mata dalam perlawanan menentang Sabah di Stadium Sultan Ibrahim.

Berbekalkan 23 mata dengan rekod tanpa kalah selepas 9 perlawanan setakat ini, JDT juga turut mempunyai kelebihan dari segi perbezaan jaringan sebanyak 17 gol mengatasi pencabar terdekat, Perak.

Kejuaraan kali ketujuh berturut-turut sejak tahun 2014 itu akan memastikan slot ke AFC Champions League menjadi milik skuad Harimau Selatan untuk saingan musim depan.

Namun begitu, persaingan merebut slot ke AFC Cup 2021 yang diberikan kepada tempat kedua tampak lebih sengit daripada perebutan gelaran juara Liga Super musim ini.

Tinggal baki 2 lagi perlawanan, semua pasukan daripada kedudukan kelapan hingga ketiga liga kini sedang bersaing sengit untuk rebut gelaran naib juara.

Berdasarkan kedudukan carta liga, jarak mata diantara semua pasukan tersebut tidak begitu jauh dan mereka berpeluang memintas antara satu sama lain dengan syarat mengutip 3 mata penuh.

Perlawanan tumpuan minggu ini pasti lebih terarah kepada pertembungan Pahang menentang Perak kerana keputusan perlawanan ini akan memberi peluang kepada Kedah untuk merampas kedudukan tempat kedua.

Bagaimanapun, Kedah tetap berdepan laluan sukar kerana mereka akan bertemu Melaka pada hari ahad ini dan kemudian membuat penghitungan dengan Perak pada minggu depan.

Perlu diingatkan, jika juara Liga Super musim ini merupakan pasukan yang sama menjuarai Piala Malaysia 2020, satu lagi slot AFC Cup 2021 akan diberikan kepada pasukan tempat ketiga Liga Super.

Justeru itu, pasukan seperti Selangor, Melaka, Pahang dan Terengganu tidak seharusnya melepaskan peluang ini untuk memburu kedudukan terbaik.

Bahaya juga sedang menanti 3 pasukan iaitu Felda United, PJ City dan juga Sabah kerana mereka berisiko diturunkan ke saingan Liga Premier pada musim depan jika gagal mengutip sebarang mata dalam baki perlawanan yang seterusnya

Manakala pasukan PDRM kekal di tangga tercorot dan sah diturunkan ke Liga Premier 2021 setelah gagal mengutip sebarang kemenangan dan hanya mampu mencatat 2 keputusan seri selepas 9 perlawanan. Malah, mereka juga dikenakan hukuman pemotongan 3 mata akibat masalah tunggakan gaji.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

JDT Anjur ‘Live Viewing Party’, Tonton Perlawanan Bola Sepak Dalam Kereta Di Perkarangan Stadium

Dr Johan Kamal: “Selangor FA Fokus Pembangunan Akar Umbi, Selangor FC Tumpu Bola Sepak Elit Dan Pengkomersilan.”

Sanusi Pertimbang Letak Jawatan Sebagai Presiden KFA