Kemenangan 5-0 ketika aksi pertama AFC Champions League (ACL) menentang Guangzhou FC telah meningkatkan semangat JDT untuk pamerkan aksi yang lebih baik dalam perlawanan menentang kelab gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai malam ini.

Pengendali Harimau Selatan, Benjamin Mora percaya ia adalah perlawanan yang paling dinanti-nantikan dan merupakan peluang terbaik kepada pemainnya untuk bersinar di peringkat Asia.

“Ulsan seperti yang kita tahu merupakan sebuah pasukan dari Korea yang hebat, kompak dan kuat.

“Perlawanan malam ini mungkin mudah bagi mereka kerana bermain di atas padang yang lebih baik dan mereka tak akan berdepan isu cuaca panas kerana bermain pada waktu malam. Saya percaya kita akan lihat Ulsan yang sebenar.

“Tetapi kami tidak sabar untuk beraksi, ini adalah peringkat tertinggi bola sepak Asia dan inilah jenis perlawanan yang kami perlu bersaing,” kata Mora ketika sidang media.

Ini kali keempat JDT bertanding dalam saingan ACL dan mereka sudah mempunyai pengalaman berdepan pasukan yang kuat di Asia. Justeru itu, ianya bukan mustahil untuk menyaksikan pasukan itu menewaskan Ulsan Hyundai di hadapan ribuan penyokong sendiri.

Berdasarkan rekod, skuad kendalian Benjamin Mora itu pernah mengejutkan kelab gergasi Jepun, Kashima Antlers (1-0) di Stadium Larkin dan menewaskan juara Piala FA Korea Selatan, Suwon Samsung Bluewings, 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim pada musim 2020.

“Kami ingat rekod di tempat sendiri, kami kalahkan Kashima dan kami kalahkan juga Suwon Sambung Bluewings di sini.

“Tetapi pada masa yang sama, kami tidak peduli rekod tahun lalu. Kami bukan pasukan yang sama ketika tahun 2020 atau 2021. Malah kami juga bukan pasukan yang sama ketika aksi pramusim, tetapi kami jauh lebih baik daripada itu,” tegas Mora.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

TERKINI: Akibat ‘Tunjal’ Kepala Bergson, Pemain Guangzhou FC Ditamatkan Kontrak, Ketua Jurulatih Dipotong Gaji 3 Bulan

ACL 2022: BG Pathum United, Melbourne City Berkongsi Mata

Shanghai Port Tarik Diri Daripada ACL 2022, Hanya Tiga Pasukan Tempat Kedua Terbaik Mara Ke Pusingan 16