Pengurus berpengalaman, Rafa Benitez pada satu ketika pernah melemparkan kritikan terhadap Everton dengan mengatakan kelab Merseyside itu sebagai sebuah pasukan kecil ketika beliau membimbing Liverpool.

Pendapat Benitez itu kelihatannya sudah berubah selepas hampir 14 tahun berlalu apabila pengendali kelahiran Madrid, Sepanyol tersebut sah dilantik sebagai pengurus Everton pada 30 Jun lalu.

Dengan status Everton yang seperti diketahui sememangnya merupakan musuh tradisi buat Liverpool membuatkan kenyataan pada tahun 2007 dikeluarkan oleh Benitez itu kembali menjadi buah mulut buat wartawan di sana.

Menurut sumber laporan Goal, Benitez menegaskan bahawa perkara tersebut sudah lama berlaku dan beliau nyata profesional untuk menggalas tanggungjawab baharu bersama Everton bagi menghadapi musim 2021/22.

“Seperti yang katakan sebelum ini, ia [kenyataan] bergantung kepada konteks keadaan. Ia sudah lama berlalu dan anda perlu untuk berjuang untuk kelab anda. Itulah perkara yang saya lakukannya pada ketika ini.”

“Sekiranya anda merupakan seorang pengurus, anda perlu mempertahankan kelab anda dalam apa sahaja konteks sekali pun. Pada keadaan ini, saya akan berjuang untuk Everton.”

“Saya akan cuba melakukan segala yang terbaik pada setiap perlawanan dan akan cuba untuk bersaing menentang sesiapa sahaja,” ujar pengurus berusia 61 tahun itu.

“Saya sangat gembira bahawa kelab ini sudah semakin besar [reputasi] dan saya gembira dengan idea yang mengatakan kami mampu untuk memberikan cabaran serta mampu bersaing dan saya akan berjuang untuk perkara ini.”

“Saya sangat profesional dan kompetitif. Saya mempunyai keyakinan yang kami telah melakukannya dahulu dan kami akan mampu melakukannya pada ketika ini. Kami mencipta suasana yang membolehkan kami bersaing di tahap paling maksimum.”

“Ketika saya bersama Chelsea di Cobham [pusat latihan], saya pergi ke pasar raya dan peminatnya sangat baik. Sebahagian besar penyokong baik-baik sahaja pada setiap hari.”

“Liverpool merupakan bandar saya, sekarang ramai penyokong Everton akan gembira sekiranya saya berjaya,” tambah Rafa Benitez lagi.

Baca artikel lain mengenai kelab saingan Liga Perdana Inggeris:

RASMI: Everton Lantik Benitez, Penyokong Kibar Banner Ugutan Di Kediamannya

TERKINI: Selepas Sancho, United Semakin Hampir Dapatkan Varane

EPL 2021/22: Kapasiti Penuh Penyokong Ke Stadium Dibenarkan

 

Sumber