Ketua pasukan Johor Darul Ta’zim, Hariss Harun menggesa rakan sepasukan untuk lebih agresif bagi menyekat kemaraan pemain Shandong Luneng apabila kedua-dua pasukan bertembung dalam saingan kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019 di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin malam ini.

Menurut Hariss, pendekatan yang digunakan oleh Shandong iaitu corak permainan fizikal memaksa beliau dan rakan sepasukan harus lebih agresif khususnya dalam mengawal dua pemain tinggi mereka iaitu Graziano Pelle dan Marouane Fellaini.

Graziano Pelle
Sumber Gambar: Goal.com

“Secara peribadi saya sudah bersedia untuk beraksi menentang kelab dari China itu. Malah rakan sepasukan juga menunjukkan kesungguhan ketika sesi latihan sejak dua hari lalu.

“Walaupun ia perlawanan sukar apabila melihat kepada reputasi Shandong Luneng tetapi kami akan berusaha dan turun melebihi 100% untuk beri tentangan sengit kerana jika kemenangan mampu dilakar maka peluang mara ke pusingan seterusnya cerah.

“Bukan sahaja kekuatan fizikal tapi kekuatan mental juga penting untuk turun beraksi kerana kita tahu pasukan lawan akan menggunakan fizikal untuk menidakkan usaha JDT mencipta kejutan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

JDT dijangka berdepan laluan sukar apabila Shandong turut memburu kemenangan bagi mengambil alih kedudukan teratas kumpulan E yang ketika ini dihuni oleh Kashima Antlers.

Shandong dijangka menurunkan pemain terbaik mereka antaranya Pelle, Fellaini dan Guedes bagi memberi tekanan terhadap benteng pertahanan JDT sekaligus mencari jaringan.