Pengerusi Jawatankuasa Khas Bolasepak Profesional Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed mengesahkan setakat ini hanya lima persatuan dan kelab sudah melengkapkan proses penswastaan dan pemisahan FA ke FC.

Paling mengejutkan, Perlis FA adalah antara pasukan yang sudah melengkapkan proses penswastaan walaupun disingkirkan daripada Liga Malaysia tahun lalu ekoran masalah kewangan yang serius.

Pasukan yang lain ialah Johor Darul Ta’zim (JDT), Sarawak FA, PJ City, ATM FA dan Negeri Sembilan FA.

“Proses ini perlu dilakukan oleh kesemua 20 persatuan dan kelab yang pasukannya beraksi dalam Liga Super 2020 dan Liga Premier 2020 serta tambahan dua lagi ahli gabungan FAM yang tiada pasukan dalam kedua-dua liga utama tersebut iaitu ATM FA dan Perlis FA.

“Bagi persatuan, mereka perlu melengkapkan proses penswastaan dan juga pemisahan FA ke FC manakala bagi kelab, mereka perlu melengkapkan proses penswastaan sahaja.

“Hanya lima persatuan dan kelab telah melengkapkan proses penswastaan mereka termasuk pemisahan FA ke FC iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Sarawak FA, PJ City FC, ATM FA, Perlis FA dan terbaharu, Negeri Sembilan FA,” katanya dalam Sinar Harian.

Firdaus Mohamed
Sumber Gambar: Harian Metro

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini menegaskan semua pasukan wajib menukar status kepada FC supaya tidak berdepan masalah untuk menyertai Liga Malaysia musim depan dan pertandingan anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kelak.

Namun begitu, Firdaus bimbang pasukan gergasi seperti Pahang, Kedah dan Perak masih belum memulakan proses penswastaan mereka sebelum tarikh tutup pada bulan September ini.

“Agak membimbangkan apabila lapan lagi persatuan dan kelab iaitu PDRM FA, Kuala Lumpur FA, Kedah FA, Perak FA, Sabah FA, Pahang FA, UiTM FC dan UKM FC masih belum memulakan proses penswastaan biarpun lima daripada mereka sudah pun diberikan bantuan bimbingan oleh FAM menerusi lawatan ke persatuan serta kelab mereka atau secara dalam talian.

“Tempoh masa yang tinggal masih ada kira-kira dua bulan dan FAM sangat berharap pihak pengurusan persatuan dan kelab yang terbabit dapat mengambil serius hal ini kerana mereka bakal berdepan untuk diturunkan ke liga amatur iaitu Liga M3, musim depan,” kata Firdaus.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Tabur Garam Dan Nasi Di Atas Padang, Kelab Vietnam Ini Disyaki Amalkan Ilmu Hitam Untuk Raih Kemenangan

Bola Sepak Indonesia Kembali Bergasak, Pemain Pijak Kepala Pengadil

Alireza Beiranvand Sertai Kelab Belgium, Royal Antwerp