Pengendali skuad B-15 tahun negara, P.Maniam gembira dengan kemenangan besar yang dicatat oleh anak-anak buahnya pada perlawanan pembukaan kumpulan B saingan AFF B-15 Tahun menentang Brunei semalam.

Pasukan negara membelasah Brunei dengan keputusan 8-0 dimana Muhammad Harry Danish dan Zubaidi Mohammed berjaya menjaringkan hatrik manakala seorang lagi pemain, Wan Muhammad Hakim menjaringkan dua gol. Keputusan yang diperoleh nyata menggembirakan P.Maniam namun beliau mengingatkan para pemain untuk sentiasa fokus kerana perlawanan selepas ini akan lebih mencabar.

“Kami bermula dengan baik. Kami menjaringkan 8 gol dan anda boleh lihat dua pemain kami (Harry dan Zubaidi) menjaringkan hatrik. Banyak perkara positif berlaku pada perlawanan ini dan pemain saya sudah sedia untuk menghadapi perlawanan seterusnya iaitu menentang Kemboja.

“Secara keseluruhan kami berasa gembira. Tapi saya rasa pasukan Brunei tidak begitu kuat dan saya rasa kerana itu kami dapat menjaringkan 8 gol. Tapi perlawanan kedua akan jauh lebih berbeza kerana Kemboja merupakan pasukan yang kuat dari segi fizikal dan teknikal. Kami perlu bekerja lebih keras apabila menghadapi mereka,” kata P.Maniam.

Result B-15

Pada perlawanan pertama, Kemboja tewas kepada pasukan yang membuat penampilan semula dalam saingan B-15 tahun setelah tidak mengambil bahagian pada edisi tahun lalu iaitu Australia dengan keputusan 3-1. The Angkor Warriors ketinggalan 3-0 pada separuh masa pertama sebelum menjaringkan satu gol pada separuh masa kedua.

Tidak mustahil pasukan bimbingan bekas ketua jurulatih Selangor ini mencatat kemenangan kedua kerana pemain berada dalam prestasi terbaik dan pasukan lawan baru sahaja mengalami kekalahan.

Lain-lain keputusan dalam kumpulan B menyaksikan pasukan Thailand meraih tiga mata apabila menewaskan pasukan Laos dengan keputusam 2-1.