Perlawanan antara Persib Bandung menentang Persija Jakarta dalam saingan Liga 1 Indonesia yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno semalam berjaya mencatatkan satu rekod baru dari segi kehadiran penonton ke stadium musim ini.

Menurut seorang pengguna Twitter, @JakartaCasual, seramai 70,000 penonton telah hadir ke Gelora Bung Karno bagi menyaksikan pertembungan antara dua kelab yang menjadi seteru sejak awal 1990an itu. Jumlah tersebut sekaligus memadam rekod yang dicatatkan ketika Persib menentang Persebaya Surabaya di Stadium Gelora Bung Tomo.

Tidak menghairankan jumlah penonton yang hadir ke GBK mencapai angka tersebut kerana kedua-dua pasukan sarat dengan sejarah khususnya dalam saingan Liga domestik. Selain itu, faktor penyokong Persib dan Persija yang begitu fanatik turut memainkan peranan penting.

Menurut laporan portal berita tempatan, Bola.net, penyokong pasukan tuan rumah mula membanjiri GBK seawal jam 12 tengah hari. Perkara ini jelas berbeza ketika Persija berdepan pasukan lain sebelum ini.

Fans persija

Sumber Gambar: Bola.net

Fans persija

Sumber Gambar: Bola.net

Pada perlawanan semalam, Persija terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan bekas penyerang import Melaka United dan Negeri Sembilan, Marko Simic pada separuh masa pertama. Simic bijak menanduk masuk bola hasil daripada sepakan sudut yang diambil oleh Riko Simajuntak.

Pada separuh masa kedua, Persija terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Novri Setiawan dibuang pada pada minit ke-78. Pemain Persib menggandakan asakan dan usaha mereka membuahkan hasil apabila Artur Geworkyan menjaringkan gol penyamaan pada minit-minit terakhir permainan.

APA KOMEN ANDA?

Anda Mungkin Suka

© 2019 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group