Liga 1 Indonesia kembali menjadi sorotan apabila perlawanan antara Persela Lamongan menentang Borneo FC diwarnai oleh kekecohan dimana peminat serta pasukan tuan rumah tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil perlawanan.

Perlawanan yang diadakan di Stadium Surabaya, Lamongan pada semalam berakhir dengan keputusan seri 2-2. Persela tidak berpuas hati dengan pengadil perlawanan, Wawan Rapiko yang memberikan sepakan penalti kepada Borneo dan melayangkan kad merah kepada penjaga gol mereka, Dwi Kuswanto minit-minit akhir perlawanan.

Keputusan tersebut menyebabkan pemain Persela membuat bantahan dan perlawanan terpaksa dihentikan selama 20 minit. Perlawanan kemudiannya diteruskan dengan Borneo mengambil sepakan penalti yang disempurnakan oleh Lerby Eliandri.

Wawan mengambil keputusan untuk menamatkan perlawanan dan pemain Persela sekali lagi mempersoalkan keputusan tersebut. Beberapa pemain cuba mengejar Wawan dan pengadil tersebut berlari menuju bilik persalinan dimana penyokong tuan rumah dilihat cuba memukul Wawan.

Penyokong Persela memasuki padang dan mereka dilihat mengerumuni pintu masuk bilik persalinan dan menghalang jalan keluar daripada stadium. Pegawai serta pemain Borneo terpaksa menunggu lama untuk keluar daripada Stadium Surabaya.

Wawan Rapiko
Wawan Rapiko sedang dikejar oleh penyokong Persela.

Pengelola Liga 1 Indonesia masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kekecohan tersebut. Sebelum ini, insiden panas turut berlaku di Makassar apabila Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) mengambil keputusan untuk menunda perlawanan akhir kedua Piala Indonesia 2019 antara Persija Jakarta menentang PSM Makassar kerana tahap keselamatan yang membimbangkan.