Ketua jurulatih skuad kebangsaan Tajikistan, Usmon Toshev mengakui anak buahnya berdepan tugas sukar apabila bakal bertemu Malaysia tanpa kelibat tiga tonggak utama untuk aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam esok.

Bagaimanapun, beliau tidak melihat ketiadaan tiga pemain itu sebagai masalah kerana yakin dengan kemampuan pemain simpanan yang akan diuji berdepan anak buah Tan Cheng Hoe.

“Untuk esok, kami akan menurunkan kesebelasan utama dengan kombinasi pemain senior dan junior. Walaupun 3 pemain utama kami tidak ada, ia tidak menjadi satu masalah,” katanya dalam sidang media.

Tiga pemain tersebut ialah Kurshed Beknazarov, pemain pertahanan yang beraksi dengan kelab Liga 1 Indonesia, Tira Persikabo dan dua pemain yang berkelana di Eropah iaitu Farkhod Vosiyev (Rusia) dan Parvizdzhon Umarbayev (Bulgaria).

Mereka tidak sertai rombongan ke Malaysia kerana dilaporkan tidak mendapat perlepasan daripada kelab masing-masing.

74318413_2544032572492537_1816827043732520960_n
FOTO: FA Tajikistan

Kebanyakan pemain dalam pasukan ini berusia bawah 30 tahun dan mereka juga mempunyai 4 pemain yang beraksi bersama kelab di luar negara selain Beknazarov, Farkhod dan Umarbayev. Antara pemain tersebut ialah Fatkhullo Fatkhuloev (Uzbekistan), Amirbek Juraboev (Uzbekistan), Nuriddin Davronov (Oman) dan Jahongir Ergashe (Bangladesh).

Mengulas mengenai prestasi Malaysia dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Toshev menyifatkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu telah mempamerkan peningkatan yang ketara sejak kebelakangan ini.

“Saya telah mengikuti semua perlawanan melibatkan Malaysia dan saya boleh melihat tahap kemajuan skuad negara seperti pada perlawanan antara Malaysia dan Vietnam. Apa yang diperhatikan, Malaysia adalah sebuah pasukan yang pantas.

“Semua pasukan mempunyai peluang layak tetapi apa yang saya lihat, Malaysia adalah sebuah pasukan yang mantap dan mempunyai peluang untuk layak ke Piala Asia 2023,” katanya.

72143991_2545450139017447_1716021833423126528_o
FOTO: FA Tajikistan

Selepas aksi menentang Malaysia, mereka akan terus terbang ke Mandalay, Myanmar pada 10 November dan kemudian ke Bishkek untuk menentang Kyrgyzstan untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Tajikistan kini berada di kedudukan ketiga dalam kumpulan F dengan 6 mata selepas mencatat dua kemenangan dalam tiga perlawanan yang diharungi.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan skuad kebangsaan Tajikistan melalui pautan dibawah. 

Tajikistan Umum Senarai 23 Pemain Untuk Aksi Persahabatan Menentang Harimau Malaya

Piala Dunia U17: Skuad Tajikistan Tumbangkan Juara Afrika Cameroon Dalam Perlawanan Pembukaan