Malaysia meneruskan rentak kemenangan dalam siri Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 selepas berjaya menundukkan Hong Kong 2-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut dilakarkan skuad Harimau Malaya berdepan lawan sama apabila menang 2-0 juga pada aksi persahabatan, Jun 2022.

Berdepan lawan yang berada di ranking ke-146 dunia, Kim Pan-gon membuat empat pertukaran pada kesebelasan utamanya dengan menurunkan Shahrul Mohd Saad, Nooa Laine, Muhammad Nor Azam Azih dan Quentin Cheng.

Dibimbing Jorn Andersen dari Norway-Jerman, Hong Kong bermula garang dengan tekanan diberikan kearah pintu gol Malaysia yang dikawal Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Ia dibuktikan apabila Hong Kong mendapat peluang seawal minit keempat menerusi tandukan Vasudeva Nunez yang terkena tiang ketika situasi sepakan sudut manakala percubaan susulannya meliar.

Skuad negara kemudiannya pantas memberikan tindak balas dan berjaya menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-18 menerusi Muhammad Akhyar Abdul Rashid.

Jaringan tersebut berpunca daripada tekanan baik Faisal Abdul Halim yang merampas bola daripada kaki pemain pertahanan, Lin Ngai Hoi lalu memberikan ruang buat Akhyar untuk melepaskan rembatan dalam kawasan penalti untuk meletakkan skuad negara di hadapan.

Akhyar berpeluang menambah jaringan kedua peribadi berselang dua minit kemudian tetapi rembatannya selepas melakukan gerakan solo dalam kawasan penalti melewati palang gol.

Hong Kong turut terlepas peluang untuk mendapatkan jaringan selepas hantaran lintang daripada sebelah kiri gagal disudahkan dengan baik Sun Ming Him dimana tandukannya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol lawan.

Kem negara melonjak kegembiraan sekali lagi pada minit ke-41 setelah percubaan kali kiri Faisal Halim dalam kawasan penalti selepas menerima hantaran Darren Lok berjaya menewaskan penjaga gol, Yapp Hung Fai.

Aksi babak kedua memperlihatkan skuad negara memperoleh beberapa peluang terbaik bagi menambah jaringan menerusi Darren Lok, Faisal Halim dan Brendan Gan tetapi usaha tersebut belum
cukup untuk membuahkan hasil sekali gus kedudukan 2-0 itu kekal hingga tamat permainan.