Skuad negara mencatatkan satu lagi kemenangan pada Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 selepas berjaya menundukkan Hong Kong 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Perlawanan persahabatan kedua itu menyaksikan ketua jurulatih skuad negara, Kim Pan-Gon menyenaraikan barisan kesebelasan utama terbaiknya dimana hanya Dion Cools dan Syamer Kutty Abba yang diturunkan ketika bertemu Brunei dikekalkan.

Corak permainan cukup positif ditampilkan oleh barisan pemain negara yang mana memperlihatkan serangan demi serangan dijelmakan sebaik sahaja wisel permulaan ditiup pengadil bertugas, Suhaizi Shukri.

Nor Azam Azih terlebih dahulu memaksa Paulo Cesar Da Silva Argolo bekerja keras tetapi rembatannya dari luar kawasan penalti diselamatkan dengan baik penjaga gol berusia 36 tahun itu seawal minit keenam.

Tekanan diberikan skuad negara hampir membuatkan hasil pada minit ke-24 tetapi sepakan percuma dari sudut sebelah kiri diambil Safawi Rasid yang terus menuju pintu gol pasukan lawan pantas ditumbuk keluar Paulo Cesar bagi menyelamatkan keadaan.

Berselang seminit kemudian, giliran Arif Aiman Mohd Hanapi pula mengancam kubu pasukan di tangga ke-147 ranking dunia itu, namun rembatan Arif yang sudah pun berjaya melepasi celah kaki Paulo Cesar diselamatkan oleh pemain pertahanan, Yu Wai Lim di atas garisan.

Jaringan yang dinantikan skuad negara hadir pada minit ke-31 apabila Safawi menyempurnakan sepakan penalti meskipun Paulo Cesar pada mulanya berupaya menepis rembatannya. Sepakan penalti itu dihadiahkan oleh Suhaizi kepada skuad negara selepas Fung Hing Wa melakukan kekasaran terhadap Akhyar Rashid dalam kawasan penalti.

Darren mendapat peluang untuk menambah jaringan ketika permainan memasuki masa tambahan. Bagaimanapun, tandukannya ketika tidak dikawal pemain pertahanan lawan susulan hantaran cantik dilakukan Corbin-Ong hanya sedikit melewati palang gol.

Empat minit selepas aksi babak kedua bersambung, Darren sekali lagi hampa apabila tolakannya ketika menyambar hantaran lintang Azam Azih berjaya diselamatkan oleh Paulo Cesar.

Safiq Rahim yang masuk sebagai pemain gantian mengesahkan kemenangan 2-0 apabila percubaan sepakan percumanya membias terkena benteng untuk menewaskan Paulo Cesar.

Kali terakhir Malaysia menewaskan Hong Kong adalah pada perlawanan persahabatan di Mong Kok Stadium (16 Oktober 2012) hasil jaringan Safee Sali, Safiq Rahim dan Ahmad Fakri Saarani.

Kemenangan ke atas Hong Kong ini jelas menjadi tonik berguna buat skuad negara menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2023 bertemu Turkmenistan di gelanggang yang sama pada 8 Jun nanti.