Skuad negara mendapat tonik berguna menjelang Kelayakan Piala Asia 2023 apabila mudah menundukkan Brunei 4-0 pada Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Pengendali skuad negara, Kim Pan Gon dilihat dalam fasa menguji para pemainnya dengan merehatkan beberapa pemain utama seperti Farizal Marlias, Shahrul Mohd Saad, Corbin-Ong dan Matthew Davies manakala pemain muda, V. Ruventhiran telah diberikan peluang untuk melakukan penampilan antarabangsa sulung.

Seperti dijangka, Safiq Rahim dan rakan sepasukannya jelas tidak berdepan masalah untuk mendominasi permainan dengan penguasaan total ditampilkan serta mendapat beberapa peluang keemasan bagi menghasilkan jaringan.

Syafiq Ahmad meletakkan skuad negara di hadapan pada minit ke-16 apabila menyempurnakan peluang dengan menanduk masuk bola hasil sepakan sudut yang diambil Ruventhiran

Kredit Foto: PFAM

Selepas itu, skuad negara terlepas beberapa peluang terbaik untuk menambah jaringan menerusi ketua pasukan, Safiq Rahim, Syameer Kutty Abba dan Syafiq Ahmad.

Ketika kedua-dua pasukan menanti waktu untuk masuk ke bilik persalinan, Syameer dengan tenang menolak masuk bola hasil lorongan baik dilakukan Muhammad Faisal Abdul Halim untuk memberikan kelebihan 2-0 buat skuad negara.

Syameer hampir menambah satu lagi jaringan pada masa kecederaan tetapi kuisannya selepas menerima umpanan cantik daripada Safiq hanya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Brunei.

Faisal Halim menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-58 selepas beliau melakukan rembatan deras dalam kawasan penalti setelah menerima ‘cutback’ daripada pemain gantian, Guilherme De Paula.

De Paula yang sentiasa menjadi mangsa kritikan ekoran pemilihannya ke dalam skuad kebangsaan menambah jaringan apabila beliau tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk mengesahkan kemenangan 4-0 buat skuad Harimau Malaya.

Pemain negara akan menghadapi aksi persahabatan kedua pada 1 Jun nanti apabila dijadualkan bertemu Hong Kong.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.

Jordan Mintah Tetap Puas Hati Meskipun Kurang Jaringkan Gol

Micheal Owen: Liverpool Terlalu Bagus Buat Real Madrid

Bekas Pertahanan Kental Sri Pahang, Zesh Rehman Umum Persaraan