Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu manfaatkan tiga jendela aksi persahabatan antarabangsa pada bulan September, Oktober dan November ini untuk menguji muka baharu.

Katanya kepada arena metro, perlawanan persahabatan itu penting untuk memastikan pemain cukup bersedia menghadapi Piala Suzuki AFF dan Kelayakan Piala Asia 2023 yang akan datang.

“Kalau boleh kami dan pengurusan dah berbincang dan memang kita nak mengadakan perlawanan atau aksi persahabatan diadakan dalam ketiga-tiga itu.

“Lagipun ketika itu Liga Super berhenti rehat jadi kita boleh gunakan masa itu untuk mengadakan latihan dan perlawanan. Disamping itu, kita juga nak uji pemain-pemain yang baharu dan melihat potensi mereka pada latihan dan dalam aksi persahabatan nanti,” jelas Cheng Hoe.

Antara muka baharu yang mungkin akan dipanggil berdasarkan prestasi mereka dalam Liga Malaysia ialah Hakimi Abdullah (Terengganu FC), Faisal Halim (Terengganu FC) dan Sharul Nazeem (Selangor FC).

Tan Cheng Hoe
Sumber Gambar: FAM

Berdasarkan jadual, tiga jendela antarabangsa yang terdapat dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ialah 30 Ogos hingga 7 September, 4 hingga 12 Oktober dan yang terakhir pada 8 hingga 16 November 2021.

Minggu lepas, Harimau Malaya dikaitkan dengan satu perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu pasukan Palestin yang dikatakan bakal berlangsung pada bulan September 2021 nanti.

Perkara itu telah dipetik daripada laman Twitter Football Palestine, yang mengatakan bahawa pasukan kebangsaan mereka akan mengatur perlawanan persahabatan bertemu Malaysia dan Krygystan pada bulan September sebelum mengadakan kem latihan di Algeria sebagai persiapan kejohanan FIFA Arab Cup.

Bagaimanapun, belum ada pengumuman rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan ia bergantung pada situasi wabak COVID-19 serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Aksi persahabatan pada bulan September, Oktober dan November juga cukup penting kerana ia boleh membantu mengubah kedudukan raking negara menjelang undian Kelayakan Piala Asia 2023.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Harimau Malaya melalui pautan dibawah. 

Luqman Hakim Dan Arif Aiman Wajar Diberikan Peluang Barisi Jentera Serangan Harimau Malaya

Natxo Insa Tampil Cemerlang, Tiba Masa Kembali Beraksi Bersama Harimau Malaya?

Wan Kuzain Mahu Beraksi Bersama Harimau Malaya