Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan penundaan perlawanan Liga Super melibatkan pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA) dan pasukan Liga Premier, Kuching City FC (KCFC) susulan arahan kuarantin terhadap pasukan berkenaan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, keputusan untuk menunda perlawanan selepas mendapati beberapa pemain serta pegawai daripada KDA dan KCFC telah dikesan positif wabak COVID-19 menerusi ujian PCR sebelum hari perlawanan minggu lalu.

Jelas Dato’ Ab Ghani, menurut laporan pasukan-pasukan berkenaan, maklumat tarikh dan tempoh kuarantin yang terpaksa dijalani oleh mereka menyaksikan KDA dikuarantin bermula 21 Julai 2021 sehingga 3 Ogos 2021 manakala KCFC pula akan melalui proses sama pada 24 Julai 2021 sehingga 9 Ogos 2021.

Oleh sebab itu, Kedah tidak dapat menentang PJ City pada hari esok manakala Kuching City terlepas aksi menentang JDT II.

Bagaimanapun, Ghani mengesahkan bahawa MFL telah membuat permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar hanya pegawai dan pemain yang positif COVID-19 sahaja dikuarantin.

“Permohonan untuk mengkaji semula Prosedur Standard Operasi (SOP) Penganjuran Liga Malaysia telah dihantar melalui KBS untuk pertimbangan KKM dan MKN.

“MFL telah mengusulkan agar hanya pegawai dan pemain yang positif COVID-19 sahaja dikuarantin manakala pegawai dan pemain yang disahkan negatif dibenarkan untuk berlatih dalam pada yang sama meneruskan perlawanan liga seperti yang dijadualkan.

“Sekiranya permohonan ini diterima, pihak MFL boleh menilai semula penundaan jadual KDA dan KCFC ini. Maka ketika ini kami akan menunggu keputusan permohonan itu sebelum mengumumkan jadual baharu pindaan perlawanan melibatkan dua pasukan berkenaan.

“Saya percaya pihak MKN dan KKM dapat memberikan pertimbangan sewajarnya permohonan itu memandangkan kes yang berlaku setakat ini adalah kecil dan berjaya dikawal dengan ujian pengesanan awal dan SOP ketat Gelembung Sukan bagi Liga Malaysia.

“Jika kita melihat kepada penganjuran liga bola sepak di luar negara seperti di EPL England, LaLiga Sepanyol, Serie A Itali serta baru-baru ini di Euro 2020 dan kejohanan yang dianjurkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), kuarantin hanya dikenakan kepada pemain yang positif sahaja manakala pemain lain dibenarkan untuk meneruskan latihan dan bermain,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

Sri Pahang Sekadar Seri Dengan Melaka United

Liga Super 2021: Kebangkitan Babak Kedua Beri Kemenangan Buat JDT Atasi UiTM FC

Liga Super 2021: Terengganu Berpesta, Belasah Perak Di Gong Badak