8 pasukan Liga Super dan Liga Premier terpaksa mencari stadium baharu untuk menghadapi baki saingan Liga Malaysia yang bersambung pada 24 julai ini apabila kawasan mereka terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Pasukan yang terlibat dengan PKPD adalah Kuala Lumpur City FC dan PDRM FC (Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras), Selangor FC 2 (Stadium Majlis Perbandaran Selayang), Selangor FC dan PJ City FC (Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya), UiTM FC dan Skuad Projek FAM-MSN (Stadium UiTM, Shah Alam) serta Negeri Sembilan FC (Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL), Dato’ Ab Ghani Hassan, pasukan-pasukan yang terlibat perlu mencari venue baharu kerana sebarang perlawanan Liga Malaysia termasuk perlawanan latihan tidak dibenarkan berlangsung di kawasan PKPD.

“Buat masa ini, lapan pasukan tidak dapat menggunakan venue asal mereka disebabkan PKPD dan kita tidak tahu bila tempoh PKPD ini akan ditamatkan jadi oleh itu, pasukan terbabit telah diminta untuk mencari venue baharu bagi perlawanan Liga Super dan Liga Premier yang akan bermula nanti.

“Pihak MFL telah meminta agar pasukan terbabit bersedia dengan perancangan awal mencari stadium baharu bukan di kawasan PKPD di mana mereka boleh memohon untuk menggunakan stadium yang tidak digunakan oleh mana-mana pasukan seperti Stadium Manjung dan Stadium Batu Kawan.

“Selain itu, mereka juga boleh memohon untuk menggunakan stadium yang hanya digunakan oleh satu pasukan sahaja dan MFL akan membantu pasukan-pasukan dalam mengenalpasti stadium yang boleh digunakan.

“Dengan situasi cukup mencabar disebabkan COVID-19 ketika ini, saya berharap agar semua pasukan terus bersatu dan bekerjasama antara satu sama lain dalam memastikan kelangsungan Liga Malaysia 2021 yang mana saya cukup yakin dan percaya kita boleh mengharunginya bersama,” kata Dato’ Ab Ghani.

Bagaimanapun terdapat sedikit pindaan terhadap jadual Liga Malaysia susulan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan di seluruh negara susulan peningkatan kes COVID-19.

Pindaan itu membabitkan saingan Liga Premier yang sebelum ini dijadual kembali bermula pada 3 Julai 2021.

Manakala perlawanan tertunda iaitu Perak FC II menentang Kelantan FC di Stadium Perak, Ipoh sementara Selangor FC 2 menentang Sarawak United FC di venue yang akan ditetapkan kemudian akan berlangsung pada 17 Julai 2021 berbanding tarikh asal pada 29 dan 30 Jun 2021.

“Meskipun PKP masih dilaksanakan, MFL mendapat pertimbangan baik daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meneruskan baki saingan Liga Malaysia 2021 dengan SOP yang ketat.

“Bagaimanapun pindaan jadual tidak dapat dielakkan bagi meminimumkan pertembungan venue dan bagi mengelak daripada pasukan-pasukan mengharungi jadual agak padat.

“Kita semua sedia maklum bahawa KBS sebelum ini telah menyarankan supaya jadual Liga Premier ditunda sebelum ini berikutan kes harian yang masih mencatatkan bacaan tertinggi melebihi 4,000 kes sehari.

“Jika ada sebarang perubahan dan pindaan kalendar dan jadual pertandingan Liga Malaysia 2021 akan datang, ia akan tertakluk kepada keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL serta arahan terkini oleh Kerajaan Malaysia dan penguatkuasaan arahan PKP,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah. 

Perak Perkenalkan Jersi Ketiga Dan Kit Edisi Terhad Sempena Ulang Tahun Ke-100

Arif Aiman Dan Hakimi Abdullah Pemain Muda Paling Bernilai Liga Malaysia

Yusri Che Lah Tagih Peningkatan Prestasi Skuad Projek FAM-MSN