Semalam berlangsung satu perlawanan amal di Stadium Larkin yang menghimpunkan beberapa bekas pemain berkelas dunia bertujuan untuk mengutip dana bagi disumbangkan kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia dan Women’s Aid Organisation.

Antara nama-nama pemain berkelas dunia yang beraksi dalam satu pasukan bersama pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor ialah David Trezeguet, Robert Pires, Marco Materazzi, Gianluca Zambrotta, Esteban Cambiasso, Claude Makalele, Florent Malouda serta dibantu oleh beberapa pemain JDT dan artis jemputan.

Turut beraksi dalam perlawanan itu tetapi dalam pasukan ‘JDT Rest Of The World’ ialah Louis Saha, Bebeto, Caniggia, Rivaldo, Edgar Davids dan Marquez bersama pemain serta pengarah teknikal JDT, Martin Prest.

Dalam perlawanan itu, pasukan JDT TMJ berpesta gol menewaskan JDT Rest Of The World dengan jaringan 9-5 dan berjaya mengutip dana berjumlah lebih RM600,000. Kutipan turut diraih menerusi hasil penjualan tiket dengan jumlah kehadiran di stadium melebihi 17,000 penonton selain sumbangan penaja.

62236440_1386774134819215_6929868000531054592_n
FOTO: JST

Antara pemain JDT yang beraksi bersama pasukan TMJ ialah penjaga gol, Farizal Marlias, Mauricio Nascimento, Gonzalo Cabrera, Diogo Luis Santo, Safawi Rasid dan La’Vere Corbin-Ong.

Manakala penjaga gol kedua JDT, Izham Tarmizi bersama Syazwan Andik Ishak, S Kunanlan dan Aidil Zafuan Abd Radzak beraksi untuk pasukan JDT Rest of the World.

Selain itu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah turut berangkat menonton perlawanan amal tersebut bersama keluarga diraja.