Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi mengakui pertandingan bola sepak amatur melibatkan Liga M3, Liga M4 dan Liga M5 akan diberikan nafas baharu.

Selepas dua musim tiada sebarang pertandingan akibat wabak yang masih lagi melanda, kempen Liga M3 dan Liga M5 dijadualkan akan bermula pada Februari dan Mac 2022.

Manakala, Liga M4 pula hanya akan diadakan pada musim 2023 dengan mengambil kira penyingkiran pasukan Liga M3 2022 dan pasukan Liga M5 yang akan dinaikkan pangkat.

“Menerusi struktur terbaharu ini, AFL berazam untuk membawa liga amatur yang terdiri daripada pasukan-pasukan amatur di setiap negeri ke tahap yang profesional sekali gus memberi peluang untuk mereka (pasukan) membuktikan kebolehan pemain amatur bersaing di samping pemain-pemain profesional.

“Selain itu, AFL mahu mengembalikan kegemilangan bola sepak Malaysia menerusi pelaksanaan pertandingan yang tersusun serta sihat selain memperbaiki aspek pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi,” ujar Mohd Yusoff bercakap dalam sidang media di Wisma FAM, pagi tadi.

“Mewakili pihak AFL, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan ucapan terima kasih kepada Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin serta Presiden MFL Dato’ Ab Ghani atas sokongan mereka terhadap liga amatur Malaysia selama ini.

“Saya berharap agar kerjasama di antara AFL dan FAM serta MFL dapat diteruskan di masa hadapan sekali gus membawa bola sepak negara ke arah masa hadapan yang lebih cemerlang,” tambah beliau.

Bagi penganjuran saingan Liga M3, AFL menyasarkan penyertaan sebanyak 20 pasukan bagi tahun 2022 yang mana barisan pasukan bertanding akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan perlawanan akan dijalankan secara timbal balik.

Empat pasukan teratas bagi kedua-dua kumpulan akan mara ke Suku Akhir Liga M3 2022 dan format perlawanan kalah mati dua pusingan akan digunakan pada pentas akhir pertandingan yang dijadualkan pada September 2022 di venue neutral yang mana dua pasukan teratas berpeluang untuk dipromosi ke Liga Premier 2023 anjuran MFL.

Manakala Liga M5 2022 bakal dilancarkan oleh AFL seawal Mac 2022 selain menjalankan usahasama bersama Persatuan Bola Sepak negeri serta badan-badan penganjur yang berkaitan.