Latihan pra-musim merupakan elemen yang cukup penting buat setiap pemain bola sepak sebagai persiapan menghadapi tirai saingan musim baharu selepas kembali daripada cuti yang diberikan oleh pasukan masing-masing.

Mungkin ada segelintir pemain yang terus berdisiplin dalam mengekalkan kecergasan ketika waktu cuti, tetapi terdapat perbezaan ketara dari segi kekuatan otot, daya tahan dan kecergasan apabila mereka sedang ‘off season’.

Dalam erti kata mudah, pra-musim merupakan peluang terbaik untuk menambah bebanan dengan sesi latihan berganda buat para pemain dalam memastikan mereka akan kembali dengan kecergasan unggul.

Bekas pemain tengah Barcelona dan Manchester City, Yaya Toure sendiri pernah mengakui beliau amat tidak menyukai latihan pra-musim, tetapi wajib mengambil berat perkara tersebut kerana ia membantu untuk menghadapi satu musim yang panjang.

Sehubungan dengan itu, latihan pra-musim memainkan peranan penting dalam membantu untuk para pemain mengembalikan semula kecergasan, fleksibiliti dan kekuatan bagi menghadapi musim baharu.

Selain daripada larian, jurulatih kecergasan akan memberikan fokus terhadap latihan interval intensiti tinggi. Aspek tersebut meliputi beberapa sesi latihan seperti pecutan, lompatan serta rembatan.

Pada era moden ini dan tidak terkecuali di Malaysia, para pemain akan dilengkapkan dengan sistem GPS serta monitor denyutan jantung dimana segala data tentang keupayaan para pemain tidak dapat dirahsiakan.

Safawi Rasid
Kredit foto: JOHOR Southern Tigers

Ia jelas amat membantu pegawai analisis prestasi buat sesebuah pasukan untuk menyediakan laporan kepada ketua jurulatih serta jurulatih kecergasan tentang tahap kecergasan seseorang pemain.

Bebanan serta tekanan tinggi dari segi mental dan fizikal pasti akan dirasai mereka dan mungkin ada pemain menganggap latihan pra-musim ini sebagai cabaran yang cukup ‘menyiksakan’ buat mereka.

Selain itu, pra-musim juga menjadi medan terbaik pemain baharu untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang sedikit asing buat mereka pada peringkat awal. Ia juga penting buat mereka untuk mendapatkan persefahaman bersama rakan sepasukan baharu mereka.

Untuk mendapatkan persefahaman yang baik dalam penerapan taktikal yang bakal digunakan oleh ketua jurulatih, ianya memerlukan lebih ruang dan masa untuk mencapai keserasian.

Keadaan ini akan digunakan sepenuhnya oleh jurulatih dalam mewujudkan keserasian buat para pemain menerusi perlawanan persahabatan dan juga kaedah tersendiri ketika sesi latihan yang boleh dipraktikkan jurulatih dalam usaha memperkukuhkan lagi elemen ini.

Jadi, sekiranya pasukan yang akan sokong mengalami kekalahan pada aksi persahabatan, jangan panik kerana keputusan perlawanan itu bukanlah kayu pengukur prestasi pasukan tetapi menjadi platform buat barisan kejurulatihan dalam mencari titik untuk penambahbaikan prestasi pemain.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

Elemen Futsal Ke Bola Sepak Jadi Senjata Utama Natanael Siringo Ringo Di Kelantan FC

Ching Hong Aik: Anak Melaka Yang Lakar Kegemilangan Bersama Negeri Sembilan

Jack Hindle Dan Mario Arqués Lengkapkan Kuota Pemain Import TRW Kelantan FC