Pertahanan kental, Gerard Pique telah mengumumkan persaraannya daripada kancah bola sepak profesional dan mendedahkan perlawanan bertemu Almeria pada awal pagi Ahad nanti bakal menjadi aksi terakhirnya bersama Barcelona.

Perkembangan terkini mengenai keputusan penting dalam kariernya itu disahkan sendiri oleh Pique menerusi satu video yang dimuatnaik di laman sosial beliau.

Wartawan bola sepak terkemuka dunia, Fabrizio Romano turut mendedahkan kontrak Pique yang akan berakhir pada tahun 2024 ditamatkan dengan serta-merta.

Ia sekali gus menoktahkan karier gemilang pemain berusia 35 tahun itu yang telah memenangi empat trofi Liga Juara-Juara Eropah, lapan kejuaraan LaLiga serta turut bergelar juara Liga Perdana Inggeris 2007/08 sewaktu menyarung jersi Manchester United.

Selain itu, beliau turut pernah menjulang Piala Dunia Kelab pada tahun 2009, 2011 dan 2015 serta Copa del Rey sebanyak tujuh kali.

Manakala ketika bersama Sepanyol pula, Pique berjaya memenangi Piala Dunia 2010 dan Kejuaraan Eropah 2012.

“Bola sepak telah memberikan segala-galanya kepada saya,” ujar Pique bercakap dalam video tersebut.

“Barcelona telah memberikan saya segala-galanya. Anda, Culers [merujuk kepada peminat Barcelona], telah memberikan segala-galanya buat saya.”

“Dan kini impian kanak-kanak ini telah menjadi kenyataan, saya ingin memberitahu kepada anda bahawa saya telah memutuskan sekarang adalah masa untuk membawa perjalanan ini ke penghujungnya.”

“Saya selalu berkata bahawa tidak akan ada pasukan lain selepas Barca dan begitulah keadaannya.”

“Perlawanan Sabtu ini akan menjadi aksi terakhir saya di Nou Camp. Saya akan menjadi peminat setia. Saya akan menyokong pasukan. Saya akan menyampaikan cinta saya untuk Barcelona kepada anak-anak saya.”

“Dan anda mengenali saya. lambat-laun, saya akan kembali,” tambah Gerard Pique lagi.

Memulakan karier profesional pada musim 2004/05, Pique telah membuat 666 penampilan dan turut berjaya menjaringkan 58 gol serta mencipta 14 bantuan jaringan dalam semua pertandingan peringkat kelab disertai.

Pique merupakan produk La Masia tetapi berhijrah ke Manchester United pada usia 17 tahun. Empat musim di sana termasuk semusim dipinjamkan ke Real Zaragoza, beliau kemudiannya kembali ke Barcelona bagi merintis perjalanan menjadi sebahagian daripada sejarah hebat kelab tersebut.

 

Sumber