Ketua jurulatih Sri Pahang, Fandi Ahmad memuji kombinasi baik dipamerkan anak buahnya yang berjaya menundukkan Kelantan 4-1 dalam aksi kedua Liga Super 2023 di Stadium Darul Makmur,Kuantan malam tadi.

Kpah Sherman membuka akaun jaringannya pada minit ke-12 selepas beliau menyempurnakan peluang dalam kawasan penalti susulan kesilapan pertahanan Kelantan yang gagal mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya bagi memisahkan kedua-dua pasukan.

Kevin Ingreso menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-38 hasil percubaan kaki kiri daripada luar kawasan penalti yang hanya mampu dipandang penjaga gol Kelantan, Mohamad Rozaimi Rahamat.

Sergio Aguero mengukuhkan lagi kedudukan berselang lima kemudian dan tidak lama selepas itu, Stefano Brundo menambah duka pasukan pelawat yang akhirnya berjaya mendapatkan jaringan saguhati pada masa kecederaan babak kedua menerusi Miguel Angel Garrido Cifuentes.

Sehubungan dengan kemenangan tersebut, Fandi turut melihat beberapa pertukaran dilakukannya nyata membuahkan hasil lumayan buat pasukan.

“Hari ini kombinasi pemain kita baik sekali. Di jentera serangan, kita telah menukar Azam (Azih) daripada bahagian tengah kepada ‘second striker’ dengan peranan ‘nombor 10’ seperti ‘playmaker’.

“Dia banyak membuka ruang kepada pemain lain dan hari ini juga kita telah meletakkan Sergio Aguero di sebelah kanan dimana dia banyak masuk dan menggelecek bagi membuka ruang.”

“Jadi, kombinasi di bahagian tengah dan penyerang sangat baik. Babak pertama memang sangat berbeza daripada babak kedua.Hantaran-hantaran lintang yang dilakukan juga sangat baik,” ujar Fandi Ahmad bercakap dalam sidang media selepas perlawanan.

Sri Pahang akan berkunjung ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya pada hujung minggu ini untuk bertemu Selangor.